Berita

Annuar mahu menjaga muafakat tiga parti Melayu terbesar – Tun Faisal

- Diterbit 4 Oktober 2020 5:07 AM MYT

TAN SRI ANNUAR MUSA berbeza pandangan dengan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan kerana mahu menjaga muafakat tiga parti Melayu terbesar ketika ini, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau berkata demikian dalam satu tulisan menjawab bekas ahli MKT UMNO Datuk Seri Nazri Aziz yang mempersoalkan siapa Annuar mahu ‘menyanggah’ Mohamad Hassan.

Menurut Tun Faisal, Annuar berbeza pendapat dengan Timbalan Presiden, kerana beliau tidak bersetuju dengan naratif menyalahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menutup kelemahan dan prestasi lemah UMNO dan BN Sabah dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.

“Tindakan Annuar ini adalah kerana beliau mahu mempertahankan permuafakatan tiga parti terbesar umat Islam dan Melayu tanah air.”jelas Tun Faisal.

Sebelum ini Mohamad meminta Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi pedoman dan hala tuju jelas dalam kerjasama dengan pesaing politiknya, kerana pendekatan sedia ada didakwa mengecilkan peranan dan melemahkan parti itu sendiri.

Jelas Tun Faisal lagi, Annuar berbeza pandapat dengan Mohamad Hassan kerana mahu kekal bersama tiga parti terbesar umat Islam dan Melayu serta tidak mahu UMNO bergabung atau bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Berbeza dengan Nazri, kata Tun Faisal, sewaktu Nazri diangkat ‘secara tidak sah’ sebagai Setiausaha Agung BN, beliau pernah didakwa membawa agenda untuk bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.

“Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang pernah mendedahkan kecenderungan Nazri ini yang ditunjukkan begitu jelas dalam satu mesyuarat dengan UMNO Selangor pada bulan Disember 2018. Tindakan Nazri ini telah menyusahkan Presiden UMNO dan mengakibatkan orang seperti saya terpaksa mempertahankan dan membersihkan nama Presiden UMNO,”ujarnya.

Nazri sebelum ini mahu hubungan antara UMNO dan Bersatu diputuskan dengan mendakwa akar umbi UMNO yang mahukannya.

“Akar umbi berasa kita perlu bekerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional, tanpa PPBM (Bersatu),” katanya dipetik portal berita FMT.

Beliau juga mempersoalkan siapa Annuar mahu menyanggah pandangan Timbalan Presiden UMNO.

Berikutan itu, Tun Faisal meminta Nazri ‘melihat cermin’ sebelum mempersoalkan siapa Annuar.

“Kalau orang lain berkata demikian, mungkin saya boleh diterima lagi, tetapi kalau Nazri, tidak payahlah,”kata beliau yang juga merupakan setiausaha akhbar kepada Annuar.

Menurut Tun Faisal, Nazri yang mengkritik Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Timbalan Presiden. Lebih teruk lagi Nazri pernah menyifatkan Muhyiddin ibarat ‘anjing yang suka menggigit kaki’ ketika mahu ‘membodek’ Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jika Nazri dan sejumlah pemimpin UMNO ‘dibolehkan’ mengkritik dan menyerang Presiden dan Timbalan Presiden secara terbuka, kenapa ada piawaian berbeza untuk Annuar? Kenapa Nazri boleh, tetapi Annuar yang juga merupakan seorang Ketua UMNO Bahagian tidak boleh menyatakan pendapat yang berbeza dengan Timbalan Presiden?

Sementara itu, Tun Faisal turut mempersoalkan apa sumbangan Nazri sepanjang 22 bulan UMNO menjadi pembangkang kerana sepanjang pengetahuan beliau, semasa tempoh 22 bulan UMNO menjadi pembangkang Nazri hanya tahu mengkritik Bossku Najib Razak dan menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim.

“Saya yakin sumbangan Annuar dalam pembentukan Muafakat Nasional (MN), operasi-operasi Pilihanraya Kecil (PRK), termasuk tujuh yang dimenangi oleh BN dan terbaru, PRN Sabah jauh lebih banyak berbanding Nazri, bukan sahaja dari segi operasi Pilihan Raya, mencari dana operasi dan calon, serta peranan bagi mendapatkan tawaran terbaik untuk ADUN-ADUN UMNO Sabah semasa rundingan GRS selepas kemenangan dalam PRN Sabah.

“Nasihat saya kepada Nazri, simpanlah hipokrasi itu, anda adalah liabiliti kepada UMNO dan Presiden UMNO. Jika Nazri mahu sangat bersama Anwar dan DAP, silalah masuk PKR, DAP atau Pakatan Harapan,”ujarnya.

Nazri sebelum ini dipetik media menyuruh Annuar Musa menyertai Bersatu kerana berbeza pandangan dengan Mohamad Hassan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas