Berita

Annuar lancar Residensi Prihatin di Putrajaya

MAJLIS pecah tanah Residensi Prihatin oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar secara visual di Dewan Serbaguna Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya
- Diterbit 22 Februari 2021 4:50 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) bakal membangunkan projek perumahan mampu milik yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah B40 untuk memiliki rumah kediaman yang selesa.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, sebanyak 12,253 unit Residensi Prihatin berkeluasan 750 kaki persegi melibatkan 10 tapak projek pembangunan di Putrajaya.

“Projek tersebut akan dibangunkan di kawasan strategik di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19 dan sedang dalam peringkat perancangan dijangka siap sepenuhnya sehingga tahun 2025.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,592 unit
Residensi Prihatin Kenanga dan Melur yang akan dibangunkan, dijual pada harga RM 200,0000,” katanya.

Menurut Annuar, permohonan Residensi Prihatin ini memberi penekanan kepada pemohon bagi rumah pertama dan masih belum memiliki rumah bagi memastikan kumpulan sasar yang tepat beroleh manfaat tersebut.

“Keutamaan turut diberikan kepada penjawat awam dan pembeli-pembeli yang terdiri daripada kumpulan keluarga muda.

“Di samping itu, penetapan syarat minimum 60 peratus daripada jumlah unit pembangunan ini akan diperuntukkan kepada kuota Bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah oleh kumpulan B40,” katanya.

Beliau berkata, individu yang lahir, menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan yang berminat untuk memiliki unit Residensi Prihatin ini, boleh membuat pendaftaran permohonan secara atas talian di portal Residensi Prihatin https://residensiprihatin.kwp.gov.my. bermula esok.

“Permohonan adalah terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM5,000 sebulan
dan keutamaan diberikan kepada pemohon belia yang telah berkahwin,” katanya.

Pembangunan Residensi Prihatin ini meliputi kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak dan tempat letak kereta berbumbung bagi memastikan persekitaran hidup yang lebih kondusif dan berkualiti.– AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas