Berita

Annuar hanya pertahan Muafakat Ummah

SUNGAI BESAR 05 JUNE 2016. Calon Pilihanraya Kecil P093 Parlimen Sungai Besar dari Barisan Nasional (BN). Budiman Mohd Zohdi. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR
- Diterbit 1 September 2020 7:56 AM MYT

KALANGAN pemimpin dan ahli UMNO akar umbi perlu mempercayai barisan kepimpinan tertinggi parti mahupun gabungan Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) dalam merancang agenda memenangkan parti.

Setiausaha Politik kepada Tan Sri TPr Annuar Musa, Budiman Mohd. Zohdi berkata, perkara itu penting ke arah memastikan persiapan Muafakat Ummah menghadapi PRU-15, dijayakan dengan strategi yang berubah-ubah namun objektif serta matlamatnya masih kekal.

Beliau berkata, strategi diguna MN sudah tentu menakutkan pembangkang yang benci dengan perpaduan ummah dan berusaha untuk mencari jalan supaya gabungan politik yang dibentuk ini tidak menjadi kenyataan pada PRU-15.

Dengan dasar Politik Berimbang diamal UMNO juga katanya, telah berjaya menjadi kerajaan hasil kerjasama dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO, BN, PAS, GPS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Impak kewujudan Muafakat Nasional ini katanya, iaitu hasil kerjasama politik UMNO dan PAS telah menyebabkan BN menang tujuh kali dalam PRK diadakan termasuk lima sebagai pembangkang.

“Kebelakangan ini wujud keresahan kalangan ahli parti berkaitan kenyataan dibuat Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agung BN dan sebagai Setiausaha Agung bersama MN.

“Sepertimana sedia maklum kedudukan beliau di atas jawatan dipertanggungjawab menyebabkan beliau menjadi ‘pihak yang berautoriti’ menjawab dan mengulas isu-isu berbangkit berkaitan BN dan MN.

“Hakikatnya, semua jawapan dan ulasan politik Annuar adalah selari pedoman Presiden UMNO dan Majlis Tertinggi parti. Ia bukan atas kapasiti peribadi sebaliknya untuk mempertahan mandat akar umbi yang diberi kepada pimpinan di dalam Perhimpunan Agung UMNO melalui ucapan dasar Presiden bertajuk, Muafakat Nasional Pemacu Politik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

“Memetik bait Presiden, “UMNO perlukan Politik Berimbang bagi hadapi politik huyung-hayang dan politik songsang. UMNO bukan parti rigid, rasis atau terlalu longgar dan liberal” , “La ifrot wa la Tafrit”. Kita perlu mengubah UMNO kepada budaya politik berimbang berasas kepada prinsip perjuangan, keterbukaan dan perundingan selagi asas-asas Perlembagaan dan kontrak sosial tidak dicabuli,” jelasnya.

Dalam pada itu kata Budiman, pada masa sama, Annuar seorang yang cukup cermat meraikan pandangan akar umbi, supaya wujud ‘check and balance’ dalam setiap rancangan parti.

Menurutnya, setiap pandangan munasabah akan diteliti dan diambil perhatian sewajarnya di mana Annuar mengamal budaya politik dengan percaya riuh rendah (berbeza pandangan) itu adalah sifat utama di dalam demokrasi yang matang.

“Seperti wujud gerakan terancang memanipulasi pandangan dan ucapan pemimpin tertinggi dari UMNO, BN dan MN dan Annuar salah seorang yang menjadi sasaran serangan,” jelasnya. OLEH SYAHIDI BAKAR -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas