Selebriti

Amirul Asyhwad tinggalkan tugas pegawai penjara demi lakonan

|AMIRUL Asyhwad mahu berjaya dalam kerjaya lakonan|
- Diterbit 24 November 2021 12:18 AM MYT

KELIBAT Amirul Asyhwad mendukung watak sampingan dalam Budak Tebing 2 siaran TV3 nyata meninggalkan impak tersendiri.

Jejaka yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu tidak menjangka kemunculannya berjaya mencuri perhatian penonton.

“Ketika ditawarkan peluang ini, saya terus bersetuju menerimanya.

“Sebaik membaca skrip, rupanya peranan saya berhubung rapat dengan watak hero,” jelasnya selaku pekerja pusat cucian kenderaan milik teraju utama lakonan Adam Lee.

Meskipun membawa peranan kecil, Amirul, 25, tetap bangga apabila lakonannya mendapat maklum balas positif audiens.

Difahamkan, pendatang baharu berkenaan sebelum ini adalah anggota pasukan beruniform yang berstatus pegawai penjara.

AMIRUL Asyhwad mahu berjaya dalam kerjaya lakonan

Pun begitu, empunya nama Ahmad Amirul Asyhwad Ahmad Nizan itu memaklumkan, khidmatnya telah tamat pada penghujung 2020.

“Jujurnya, kerjaya sebagai penjawat awam dijawat demi memenuhi kehendak orang tua saya.

“Tetapi selepas beberapa tahun berkhidmat, tiada keikhlasan dalam hati saya untuk menggalas tanggungjawab diamanahkan.

“Akhirnya, saya membuat keputusan meletakkan jawatan, lantas mengejar impian menjadi pelakon,” tekadnya menanam iltizam.

Ibarat bulan jatuh ke riba, hasrat pemuda itu dimakbulkan sementelah penerbit terkenal, David Teo melamarnya untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan MIG Talent. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas