Selebriti

“Seni lakon ini karya mahal”, Ogy Ahmad Daud kongsi 50 tahun pengalaman

- Diterbit 24 November 2021 12:32 AM MYT

PRIMADONA popular, terkenal, Ogy Ahmad Daud dijadualkan bakal mengeluarkan senaskhah buku seni lakon berjudul Mencari Noriah pada Januari depan.

Dengan penerbitan buku itu kelak, Ogy atau nama sebenarnya Fauziah Ahmad Daud, 59, berharap supaya generasi akan datang mempunyai sikap menghargai dan menghormati ilmu lakonan sekiranya mahu menjadi anak seni berkualiti.

“Lakonan adalah ekspresi jiwa. Tiba masanya orang sedar dan tahu bahawa seni lakon ini karya yang mahal. Bukan main terjah dan lontar dialog je!” tegas anak kepada seniman, Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan seniwati, Allahyarhamah Datin Saadiah itu.

Mencecah lima dekad pembabitannya dalam dunia hiburan tempatan, Ogy mengakui sudah terbabit hampir kesemua cabang seni.

Menurut bintang filem Azura itu, pilihannya kini adalah mahu meninggalkan legasi Ogy’s Centrestage & Academy yang ditubuhkan pada 2018.

“Dengan apa yang diusahakan sekarang iaitu mendidik dan berkongsi ilmu, secara tidak langsung membuatkan harapan arwah ayah untuk melihat saya menjadi pendidik tercapai.

“Jika ditanya tentang keinginan saya sementelah menerokai semua cabang seni, pilihan selepas ini cuma berdoa agar Ogy’s Centrestage & Academy yang ditubuhkan tiga tahun lalu mampu menjadi sebuah legasi yang masyhur.

“Saya bersyukur dapat berkongsi ilmu dan memberikan semula pengetahuan diperoleh selama hampir 50 tahun kepada generasi baharu dan muda.

“Mustahil untuk bergelar seorang pelakon hebat dalam masa tujuh hari. Seseorang kena belajar mengenali dan memahami seni sebelum menjadi bintang,” tambahnya.

Dia berkata demikian ketika menjayakan sesi langsung menerusi platform IG Live milik Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang berdaftar di bawah nama @wartawanhiburan pada Sabtu lalu.

Program virtual itu merupakan kerjasama antara WHAM dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) serta dikendalikan oleh dua pengarang hiburan terkemuka iaitu Saharudin Mohd Musthafa (Dean Musthafa) dan Roslen Fadzil (Abang Slen).

Ogy adalah bintang pertama diundang menyertai siaran itu bersempena penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.

Mengangkat topik Aku Pelakon Terbaik, di samping Ogy yang pernah dinobat Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1986 dan 1987, segmen berkenaan juga akan mengundang pelakon lain yang punyai rekod pencapaian cemerlang sepanjang karier lakonan mereka sehingga 29 November depan.

Selain Aku Pelakon Terbaik, dua lagi topik diketengahkan ialah Jadi Pengarah Tanpa Gagal membabitkan Syamsul Yusof, Mawi dan Yana Samsudin.

Manakala isu How To Make A Drama Go Viral – The Magic Formula pula menampilkan penerbit drama terkenal, Datuk Ziela Jalil, Datuk A Aida dan Fadzil Teh yang masing-masing memiliki syarikat produksi sendiri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas