Berita

Aminuddin, Mohammad Azlan dilantik Ahli Lembaga Pengarah UTeM

- Diterbit 19 Ogos 2020 9:15 AM MYT

AHLI Lembaga Pengarah Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Seri Aminuddin Md Hanafiah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prolintas Group of Companies Datuk Mohammad Azlan Abdullah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun.

UTeM, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pelantikan Aminuddin mewakili bidang ‘Berpengetahuan dan Berpengalaman’ bermula 7 Ogos lepas sehingga 6 Ogos 2023 menggantikan Datuk Dr Zahazan Mohamed yang tamat perkhidmatan pada 2 Ogos lalu

“Pelantikan Mohammad Azlan pula mewakili bidang ‘Swasta’ bermula 14 Ogos lepas hingga 13 Ogos 2023 menggantikan Datuk Roslina Zainal yang tamat perkhidmatan pada 6 Ogos lepas,” menurut kenyataan itu.

Aminuddin merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Pentadbiran Perniagaan (Kewangan), University of Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat manakala Mohammad Azlan adalah lulusan Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dari University of Tasmania, Australia.

UTeM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Zahazan dan Roslina atas jasa dan sumbangan kepada universiti itu sepanjang tempoh pelantikan mereka sebagai Ahli LPU UTeM. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas