Personaliti

Ambil peduli soal politik, jangan taksub – Yuletta

YULETTA bersama keluarga tercinta.
- Diterbit 25 Ogos 2023 7:30 AM MYT

PENGLIBATAN anak muda dalam politik amat penting kerana mereka jugalah yang bakal meneruskan tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang.

Personaliti TikTok yang tidak asing lagi, Yuletta Yucha, 28, merupakan antara anak muda yang berpandangan jauh dan mengakui bahawa golongan ini perlu memainkan peranan sewajarnya dalam dunia politik.

Baginya melalui ruang tersebut, kesinambungan politik matang dapat diterjemahkan seterusnya membudayakan amalan demokrasi terpimpin di negara ini.

Katanya kepada Wilayahku, suara golongan anak muda bukan sahaja perlu didengari, malah kumpulan itu juga seharusnya tidak dipisahkan daripada dunia politik.

“Kalau kita baca sejarah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu pun, anak muda berjiwa besar mampu mengubah nasib masyarakat dan negara kita.

“Zaman itu, perjuangan untuk memerdekakan negara banyak digerakkan oleh anak-anak muda. Sejarah telah membuktikan betapa pentingnya politik kepada mereka,” ujarnya.

Namun dalam masa yang sama, Yuletta atau nama sebenarnya, Mas Noor Nabila Syafiqa berharap para belia tidak terlalu taksub dalam berpolitik sehingga melakukan penghinaan terutamanya di media sosial.

“Politik itu penting kerana generasi hari ini yang akan membawa negara untuk mencapai matlamatnya. Namun, janganlah sampai terlalu taksub sehingga berani memaki hamun, menghina di media sosial kerana tidak sependapat.

“Kita mesti tahu bahawa rakyat ada hak menyuarakan pendapat masing-masing. Jadi, bagi saya berpolitiklah secara matang dan profesional,” ujarnya.

Dia yang merupakan pempengaruh media sosial mempunyai cara tersendiri untuk menggalakkan anak-anak muda cenderung dalam politik menerusi lagu-lagu nyanyiannya.

Malah, dia juga turut mengubah lirik lagu-lagu popular untuk disesuaikan dengan semangat berpolitik khas buat golongan ini.

Terbaharu, tular lagu berjudul Malam Pagi yang diubah liriknya menjadi vibes anak muda untuk mengajak para belia menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setiap orang pasti ada cara tersendiri. Kalau wartawan menulis untuk sebarkan semangat politik, saya pula melakukannya melalui nyanyian. Selain niat untuk mencari rezeki, saya memainkan peranan menaikkan semangat mereka untuk pergi keluar mengundi.

“Saya mahu anak muda bijak memilih untuk masa hadapan negara dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir.

“Secara tak langsung, saya turut menyemarakkan semangat patriotik dalam diri mereka sekali gus rasa cinta dan sayang kepada Malaysia berkobar-kobar,” jelasnya lagi.

BAKAT LEBIH PENTING BERBANDING RUPA

JIKA ramai yang berpendapat, seseorang penyanyi terutamanya wanita perlu cantik untuk terus kekal bertahan dan diminati ramai namun bagi Yuletta, taruhan bakat lebih penting kerana ia akan kekal bertahan.

“Bagi saya, kalau rupa cantik sekalipun tetapi tiada bakat, bagaimana mahu kekal lama? Ia sebenarnya perlu disusuli dengan minat yang mendalam.

“Dalam usaha mengasah bakat yang ada, janganlah lupa soal mencantikkan diri. Cuma macam saya cakap tadi, rupa bukanlah keutamaan namun ia tetap perlu diambil kira apabila menjadi artis,” ulasnya yang meminati penyanyi Ella dan menyifatkannya penghibur sebenar.

Berasal dari Sungai Petani, Kedah, ibu kepada dua orang cahaya mata ini memberitahu, dia sedang dalam proses merakamkan single sulung.

“Saya memang dah pasang niat nak rakamkan lagu sendiri. Semuanya masih dalam pembikinan. Saya lebih sukakan rentak yang rancak dan happening. Sesuai dengan jiwa anak muda. Insya-Allah, saya juga mengimpikan untuk mempunyai album sendiri suatu hari nanti.

Yuletta mula dikenali apabila bergiat aktif dalam TikTok ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Dia gemar menyanyikan lagu dalam bahasa lain seperti Hindustan, Tamil, Portugis, Latin dan sebagainya.

Antara lagu yang melonjakkan namanya di platform TikTok adalah lagu dalam dialek Kelantan berjudul Saye Kat Ku, Cinto Kat Ku. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas