Singgah

Riadah di kota batu

PENGUNJUNG boleh melakukan aktiviti kayak dan paddle bot sambil menikmati pemandangan indah yang berlatar belakangkan Menara Kembar Petronas.
- Diterbit 22 Ogos 2023 3:18 AM MYT

TAMAN Tasik Titiwangsa yang dahulunya merupakan kawasan lombong kini menjadi lubuk baharu buat penggemar aktiviti air untuk melepaskan ‘gian’ bermain paddle boat dan kayak pada masa lapang terutama hujung minggu.

Terletak kira-kira 7 kilometer (km) dari pusat bandar Kuala Lumpur, White & Black Aquasports Titiwangsa berjaya menarik perhatian pengunjung tempatan termasuk antarabangsa yang mengunjungi lokasi berkenaan.

LIYANA JASMINE

Pengurus Pemasarannya, Liyana Jasmine berkata ia satusatunya lokasi yang menawarkan aktiviti air iaitu paddle boat dan kayak di tengah tasik di ibu kota
dengan harga bermula RM10 hingga RM30.

“Untuk aktiviti kayak, kita ada dua jenis iaitu kayak persendirian dibuka hanya untuk golongan dewasa sahaja dengan harga RM20 seorang manakala kayak berdua pula dibuka untuk kanakkanak berumur tujuh hingga 12 tahun (RM10) dan dewasa (RM15).

“Bagi paddle boat pula, ia lebih kepada aktiviti riadah bersama keluarga kerana ia untuk semua jenis golongan daripada peringkat kanak-kanak sehingga
dewasa dengan harga bermula RM10 hingga RM20,” katanya keduadua aktiviti tersebut dijalankan selama 30 minit bagi satu sesi.

Menurut Liyana, permintaan aktiviti paddle boat lebih tinggi berbanding kayak kerana ia lebih santai dan sesuai untuk dilakukan oleh golongan dewasa mahupun kanak-kanak.

“Kita dapati, kebanyakan pengunjung yang datang dengan keluarga mesti akan memilih aktiviti paddle boat sebab lebih rileks dan selamat untuk dinaiki
oleh kanak-kanak juga manakala kayak pula rata-ratanya lebih tertumpu kepada golongan remaja atau dewasa.

“Walau bagaimanapun, pengunjung tidak perlu risau. Sebelum melakukan aktiviti ini, mereka akan diberikan penerangan ringkas oleh pekerja selain jurulatih akan sentiasa memantau keselamatan di tasik ini.

“Pengunjung tidak boleh melebihi bendera merah kerana di situ tempat orang bermain polo air dan kawasannya berlumut jadi agak berisiko selain perlu
memakai jaket keselamatan dan meniup wisel sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

SESI taklimat ringkas akan diberikan kepada pengunjung sebelum melakukan aktiviti kayak atau paddle bot. 
AKTIVITI kayak menawarkan dua jenis iaitu kayak berseorangan (single) atau berpasangan (double).

Liyana berkata antara keunikan lain yang terdapat di White & Black Aquasports Titiwangsa adalah pemandangan tasik yang sangat tenang dan cantik serta
berlatarbelakangkan bangunan ikonik negara iaitu Menara Berkembar Petronas.

“Di sini merupakan satusatunya lokasi yang menawarkan aktiviti air di tengah bandar ibu kota, sesiapa pun yang melakukan aktiviti di sini sama ada berkayak,
paddle boat, berbasikal mahupun joging akan terpesona dengan pemandangan bandar.

“Disebabkan keindahan tersebut, bilangan pengunjung juga bertambah sejak kami mula beroperasi pada awal Julai lalu, mungkin juga kerana video yang
ditularkan oleh orang ramai di platform TikTok,” katanya ia turut mendapat mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung luar negara seperti Singapura, Indonesia dan lain-lain.

ANTARA gelagat pengunjung ketika berkayak.

Tambah Liyana, untuk menarik kehadiran pengunjung, pihaknya juga turut menganjurkan segmen ‘We Ask You Answer’ tatkala pengunjung sedang beratur menunggu giliran untuk melakukan aktiviti tersebut.

“Caranya senang, mereka perlu follow Instagram kami dan kita akan tanya satu soalan, mana-mana pengunjung yang dapat jawab soalan itu akan diberikan baucar tiket RM50 untuk digunakan dalam tempoh seminggu,” katanya.

PADDLE BOT

PAKEJ TEAM BUILDING

ANTARA tarikan lain, White & Black Aquasports Titiwangsa turut menyediakan pakej team building untuk mana-mana syarikat, agensi kerajaan, sekolah mahupun aktiviti keluarga.

“Harga untuk pakej ini terbahagi kepada dua iaitu RM38 bagi tiga permainan dan RM50 untuk lima permainan. Kebiasaannya untuk pakej ini kita akan cadangkan kepada pelanggan untuk datang pada hari bekerja kerana tidak mahu mengganggu operasi pada hujung minggu.

“Justeru itu kami amat mengalu-alukan mana mana pihak syarikat, sekolah mahupun agensi kerajaan untuk datang ke sini,” katanya lagi. – WILAYAHKU 

 

INFORGRAFIK 

ALAMAT : Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur

Hubungi : 011-7230 3781

Waktu Operasi : 9 pagi hingga 7 malam

Media Sosial : @white_blacktitiwangsa

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas