Warga emas aset negara

Warga emas aset negara

Oleh AINI MAWAWI
ainiwilayahku@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih 100 orang warga emas diraikan dalam program Menyantuni Warga Emas bersempena sambutan Hari Warga Emas Sedunia 2019 di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Kampung Cheras Baru di sini hari ini.

Majlis anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Cheras Baru dengan kerjasama PAWE Cheras Baru dan Persatuan Solidariti Nasional (PERSONA) itu bertujuan untuk memberi penghargaan dan menggembirakan golongan tersebut.

Menurut Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Cheras Baru, Mariah Jantan, acara tahunan tersebut disertai warga emas dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Seperti kita semua sedia maklum, golongan ini merupakan aset dan tulang belakang perkembangan negara. Selain kemudahan, kita juga perlu menunjukkan nilai hormat dan tanggungjawab kepada mereka.

“Menariknya penganjuran program tahun ini agak bermakna apabila mendapat sumbangan daripada badan-badan korporat seperti Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS), Malton Berhad dan lain-lain,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang empat jam program tersebut antaranya ceramah kesihatan, aktiviti fisioterapi, pemeriksaan gigi, saringan kesihatan dan sebagainya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun; Pengerusi PAWE Cheras Baru, Halijah Yahaya; Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Wong Ping Poo dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Wan Zarina Wan Salleh. – WILAYAHKU

CATEGORIES