Berita

Aliran trafik tinggi di lebuh raya utama petang ini

- Diterbit 25 Disember 2023 5:35 PM MYT

ALIRAN trafik tinggi di lebuh raya utama setakat 5 petang ini berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan orang ramai memanfaatkan cuti panjang sempena Krismas dan cuti sekolah untuk berjalan-jalan bersama keluarga dan pulang ke kampung.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata aliran trafik tinggi dan perlahan dikesan di arah utara dari R&R Ayer Keroh ke Hentian Pedas/Linggi.

Selain itu, aliran trafik juga perlahan arah selatan dari Sedenak ke Kulai dan dari Bukit Merah ke R&R Gunung Semanggol kerana peningkatan jumlah kenderaan.

Sementara itu, trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) juga dilaporkan perlahan sepanjang enam kilometer menghala timur dari Gombak ke Genting Sempah.

Kemas kini PLUS menerusi laman X rasminya pula memaklumkan terdapat kemalangan di KM21.6 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah utara dari Bandar Gamuda Cove ke Putrajaya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas