Berita

Hari Natal disambut dalam suasana harmoni di Indonesia

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 25 Disember 2023 4:45 PM MYT

MASYARAKAT Kristian di Indonesia, sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, menyambut Hari Natal dengan suasana harmoni sekali gus menyaksikan kepelbagaian agama yang terdapat di negara ini.

Semangat perpaduan jelas terpamer apabila mereka mengambil bahagian dalam upacara di gereja sejak malam tadi dan menghadiri jamuan bersama keluarga serta mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan di seluruh negara.

Seiring dengan tradisi moden, individu daripada pelbagai latar belakang agama termasuk warga asing menyampaikan ucapan sempena Krismas di media sosial terutamanya menerusi aplikasi WhatsApp disertakan gambar dan video pendek.

Ibu negara dan bandar-bandar utama menyaksikan pengurangan ketara dalam kesesakan lalu lintas, berikutan ramai penduduk pulang ke kampung halaman masing-masing yang melibatkan pergerakan hampir 108 juta orang, meningkat ketara daripada 63.5 juta yang dicatatkan tahun lepas.

Untuk memastikan kelancaran trafik dan keselamatan, seramai 129,923 anggota terdiri daripada polis dan tentera dikerahkan dalam Operasi Lilin dari 22 Disember hingga 2 Januari tahun depan sempena perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baru.

Ketua Polis Jeneral Listyo Sigit Prabowo menekankan komitmen teguh pasukan keselamatan untuk memastikan keselamatan lalu lintas dan tempat ibadat demi menjamin kebebasan mengamalkan agama dan hak asasi.

“Komitmen ini melibatkan kerjasama dengan pertubuhan agama lain seperti Nahdatul Ulama dan Muhammadiyah mencerminkan tahap toleransi yang tinggi dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo dalam catatannya melalui akaun rasmi X, menyampaikan ucapan “selamat menyambut Hari Natal dalam kegembiraan.”

“Semoga kedamaian, keselamatan dan kesejahteraan sentiasa menyertai kita semua,” katanya sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian di hari yang penuh bermakna bagi masyarakat Kristian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas