Berita

Alhamdulillah, 41 pelajar tahfiz Seri Petaling sembuh Covid-19

STAF kesihatan dan pesakit dari kalangan pelajar tahfiz bergambar sebelum mereka discaj dari HCTM, Cheras hari ini.
- Diterbit 12 April 2020 8:01 AM MYT

PUTRAJAYA – Alhamdulillah, seramai 41 pesakit positif Covid-19 daripada kalangan pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Seri Petaling telah selamat sembuh dan discaj dari wad di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM), Cheras hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka merupakan sebahagian daripada pesakit positif Covid-19 kluster tabligh yang sebelum ini dikuarantin di Institut Sosial Malaysia sebelum dimasukkan ke HCTM pada 2 April 2020.

“Para pelajar terbabit adalah pelajar lelaki berumur dari 14 hingga 29 tahun. Mereka telah terdedah kepada Covid-19  sama ada ketika menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling pada awal Mac 2020 dan daripada persekitaran masjid selepas perhimpunan itu.

“Kesemua mereka tidak mengalami sebarang simptom dan dua ujian swab saringan awal pada pertengahan Mac dan pada 24 Mac adalah negatif,” katanya dalam laman Facebook hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, pelajar tersebut telah dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan pada 2 April lalu keputusan ujian swab ketiga yang diambil pada 30 Mac adalah positif Covid-19.

Kata beliau, para pelajar tersebut seterusnya dimasukkan ke HCTM bagi rawatan lanjut.

“Rawatan di HCTM berjalan lancar dan hanya seorang daripada mereka mengalami simpton batuk pada 5 April 2020 dan diberikan rawatan Hydrochloroquine.

“Kesemua mereka telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada hari ini (12 April 2020),” katanya.

​Beliau menjelaskan, daripada aspek perubatan, saringan untuk diagnosis dan rawatan awal amatlah penting bagi memastikan pesakit positif Covid-19 berpeluang sembuh sepenuhnya.

Tambahnya, kumpulan pelajar ini merupakan pesakit pada usia muda dan proses penyembuhan dan prognosis mereka adalah lebih baik berbanding pesakit yang berusia atau yang menghidap penyakit kronik lain seperti hipertensi atau kencing manis.

“Bagaimanapun, mendapatkan rawatan di peringkat awal semasa di tahap 1 sehingga 3 adalah amat penting.

“Daripada aspek kawalan Covid-19, proses kuarantin awal dan isolasi di wad bagi kesemua 41 pelajar ini selepas didapati positif merupakan langkah yang amat penting.

“Di dalam kes ini, kesemua 41 mereka tidak mengalami sebarang simptom tetapi mampu untuk menjangkiti dan menyebarkan Covid-19 kepada masyarakat sekeliling tanpa menyedari mereka telah dijangkiti,” katanya.

Justeru jelas Dr Noor Hisham, keperluan kepada proses pengesanan, kuarantin, isolasi dan rawatan awal merupakan langkah tepat membantu proses penyembuhan, menyekat penyebaran dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, mengambil contoh pengurusan kesemua 41 pelajar tahfiz ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas