Berita

Nak buka kedai gunting rambut mesti mohon dengan MITI

KEDAI gunting rambut perlu membuat permohonan dengan MITI sebelum dibenarkan beroperasi ketika PKP. Gambar hiasan
- Diterbit 12 April 2020 8:25 AM MYT

PUTRAJAYA – Kelonggaran kebenaran operasi kepada sembilan industri termasuk kedai gunting rambut perlu melalui proses permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau difahamkan cadangan pelaksanaan operasi bagi industri baharu itu adalah
di kawasan zon hijau.

“Bukan apabila diumumkan secara automatik boleh dilaksanakan. Ada proses permohonan sama ada diterima atau tidak, itu adalah keputusan MITI.

“Cadangan (pelaksanaan) adalah di zon hijau dengan perincian berkenaan
prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan oleh MITI,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau menegaskan, setiap pandangan daripada rakyat akan diteliti dan diperhalusi oleh MITI.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kelonggaran kepada sembilan industri untuk beroperasi semula sepanjang tempoh PKP.

Ini meliputi industri automotif, industri mesin dan peralatan, industri aero angkasa, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal, perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradsional berdaftar, perkhidmatan kedai perkakasan (hardware), barangan elektrik, elektronik, kedai cermin mata dan kedai dobi serta kedai gunting rambut.

Bagaimanapun, orang ramai bimbang terutama terhadap wujudnya kluster terbaharu iaitu kluster gunting rambut.

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbarnya semalam turut meminta penangguhan pembukaan beberapa sektor ekonomi terpilih itu sekurang-kurangnya dua minggu.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan penilaian dilakukan sama ada negara berjaya mengawal penularan Covid-19 dalam komuniti atau sebaliknya. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas