Berita

Keluarkan kompaun atau bawa ke mahkamah adalah budi bicara polis

ANGGOTA polis mengawal sekatan jalan raya bagi menguatkuasakan PKP. Gambar hiasan
- Diterbit 12 April 2020 7:37 AM MYT

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai budi bicara sama ada mengenakan kompaun atau membawa ke mahkamah terhadap pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memberitahu, ini berikutan kesalahan yang dilakukan bukan sahaja melibatkan kes melanggar PKP tetapi kes berhubung Kanun Keseksaan.

“Ini termasuk halang tugas penjawat awam dan melanggar sekatan jalan raya sehingga mencederakan anggota polis.

“Perkara sebegitu akhirnya dituduh di mahkamah yang membawa hukuman lebih berat,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Jelas beliau, sekiranya seseorang individu itu didakwa, kuasa hukuman terletak kepada pihak mahkamah.

“Soal penjara itu kita serahkan kepada PDRM dan Jabatan Penjara untuk berbincang sama ada penjarakan sosial dilaksanakan dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menegaskan, sebarang perubahan terhadap kadar kompaun RM1,000 yang dilaksanakan kini perlu di bawa ke sidang Parlimen untuk sebarang pindaan.

“Ramai rakyat berpendapat kompaun RM1,000 masih rendah berbanding negara luar.

“Perkara itu ada dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Menteri-Menteri Berkaitan Perlaksanaan PKP tetapi akta dan peraturan amat jelas bahawa kompaun adalah RM1,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, seramai 1,220 individu telah ditahan semalam kerana ingkar PKP dengan 854 daripadanya dikenakan kompaun.

“Jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan setakat semalam adalah sebanyak 2,156 manakala 8,125 telah ditangkap bermula 18 Mac lalu,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas