Berita

Alamanda rai anak-anak yatim Rumah Bakti Al-Kausar

ANAK-ANAK yatim itu turut menerima sepasang baju, kasut, duit raya dan Dunkin's Donut.
- Diterbit 29 April 2022 4:48 AM MYT

PUSAT Beli Belah Alamanda, Putrajaya meraikan anak-anak yatim dan kurang bernasib baik dari Rumah Bakti Al-Kausar, Bangi dengan membeli-belah persiapan Hari Raya pada 21 April lalu.

Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brian berkata ianya merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Sebagai satu-satunya pusat membeli-belah di Putrajaya, kami menyedari keperluan untuk memainkan peranan penting dalam melibatkan diri dan menyokong masyarakat secara aktif, terutamanya kanak kanak yang tidak bernasib baik.

“Walaupun beraya di samping rakan-rakan dan keluarga adalah penting, kita mesti sentiasa mengingati bahawa tidak ramai yang mempunyai keistimewaan ini. Sehubungan itu, kami berbesar hati untuk berkongsi kemeriahan Hari Raya bersama anak-anak Rumah Bakti Al-Kausar,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Kanak-kanak yang berusia antara enam hingga 17 tahun itu tiba bersama Pengerusi Rumah Bakti Al-Kausar, Razali Basri serta Timbalan Pengerusi, Abu Bakar Abdul Rafar, disambut mesra Pengurus Besar Pusat Beli Belah Alamanda, Pang Sook Fong.

Tambahnya, pihak pengurusan Alamanda kemudiannya membawa kanak-kanak tersebut membeli-belah sepasang kasut raya serta sut baju raya seterusnya dibawa ke Centre Court di mana pusat beli-belah itu telah mencipta semula dekorasi kampung ala “Raya di Dusun Atuk” dan dihiburkan dengan persembahan Hari Raya Zapin.

Andrew berkata rakan niaga Alamanda turut memberikan sumbangan barangan Hari Raya kepada kanak-kanak yang terpilih.

“Majlis menjadi lebih bermakna apabila rakan niaga Alamanda seperti Gene Martino, Qutn Cotton dan Dunkin’ Donuts turut menyumbangkan barangan Hari Raya serta duit raya kepada kanak-kanak tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Rumah Bakti Al-Kausar, Razali Basri menzahirkan rasa syukur dan terima kasih terhadap pihak yang terlibat dalam meraikan kanak-kanak itu menjelang Hari Raya Aidilfitri kali ini.

“Sebagai penjaga, kami berterima kasih kepada Pusat Beli Belah Alamanda kerana telah memberikan kegembiraan kepada anak-anak ini dan memberi mereka peluang menyambut bulan Syawal dengan penuh kegembiraan.

“Layanan istimewa daripada pihak Alamanda ini begitu bermakna untuk kami terutama kepada kanak-kanak ini,” katanya.

Rumah Bakti Al-Kausar yang diasaskan sejak tahun 2011 merupakan rumah kebajikan dengan menyediakan tempat perlindungan kepada kanak-kanak memerlukan terutamanya anak yatim dan kini telah menempatkan seramai 36 kanak-kanak. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas