Berita

Empire Project kongsi rezeki, sumbang bantuan Hari Raya Aidilfitri

ANAK-ANAK asnaf yang terdiri daripada pelbagai lapisan kategori masyarakat.
- Diterbit 29 April 2022 4:45 AM MYT

KETIBAAN hari lebaran sudah tentunya dinantikan oleh sekalian umat setelah menahan lapar dan dahaga sepanjang bulan Ramadan di samping beramal ibadat kepada Allah Taala.

Namun, dalam kita bergembira membuat persiapan untuk menyambut hari raya, masih ada insan yang kurang bernasib baik dan menghadapi kesukaran dalam mempersiapkan diri dengan segala kelengkapan untuk menyambut hari raya.

Atas dasar kebajikan dan keprihatinan yang tinggi, Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project) dengan kekuatan 20 orang sukarelawan tampil memenuhi impian 50 orang anak-anak asnaf membeli-belah di Pasaraya Aeon Big Ampang, Selangor.

Menurut pengasas Empire Project, Mohd Ashraff Khan anak-anak asnaf yang terdiri daripada pelbagai lapisan kategori masyarakat dan keluarga itu menerima peruntukan berjumlah RM200 seorang untuk membeli kelengkapan pakaian Hari Raya Aidilfitri di pasar raya tersebut.

“Bukan itu sahaja, 50 kanak-kanak tersebut turut menerima kotak makanan asas sumbangan daripada Dana Kita, ole-ole istimewa raya daripada Pasaraya Aeon Big dan sumbangan duit raya.

“Program pada hari ini merupakan hasil sumbangan rakan strategik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta kutipan awam kempen Projek Raya Empire 2022,” katanya.

Simbolik penyerahan bantuan Projek Raya Empire 2022 itu telah disempurnakan oleh Head of AEON Big (M) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed diiringi oleh Rubian Ho, Zaquan Rahmat dan juga Sitiawa Mohd Noor.

Ujarnya, Empire Project amat komited untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan tanpa mengira latar belakang, pegangan agama, bangsa mahupun warganegara.

“Kehidupan kita ibarat roda yang berputar. Terkadang di atas dan terkadang akan berada di bawah. Apa yang pasti, kehidupan yang dimiliki hari ini adalah bersifat sementara dan sudah tentu kita mengharapkan balasan di akhirat sebagai pengakhiran yang terbaik,” tambahnya.

Di samping itu, Empire Project mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh tenaga kerja Pasaraya Aeon Big Ampang, sukarelawan Empire Project dan mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program pada hari tersebut.

“Saya pinta agar ramai pihak tampil untuk menjayakan impian ini demi memastikan sambutan hari raya turut dirasai oleh ramai lagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik di luar sana,” ujarnya yang juga berharap Projek Raya Empire akan dapat diteruskan pada tahun hadapan.

Ashraff turut menyeru masyarakat di luar sana yang ingin menyumbang dalam menjayakan pelbagai aktiviti yang akan dijalankan oleh pihak Empire Project melalui akaun rasmi Maybank Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project): 5640 6143 1661. — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas