Berita

Inklusif papar inisiatif kerajaan untuk Keluarga Malaysia

- Diterbit 29 September 2021 5:18 AM MYT

INKLUSIF merupakan program bual bicara terbaharu terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama menteri-menteri kabinet Malaysia dalam meninjau perancangan dan perlaksanaan program yang dilaksanakan kementerian masing-masing, khususnya untuk tempoh 100 hari pertama.

RTM dalam kenyataannya berkata program tersebut akan berkongsi mengenai inisiatif kerajaan untuk Keluarga Malaysia.

“Fungsi, peranan dan pelbagai inisiatif kerajaan yang bekerja bersama-sama Keluarga Malaysia demi memangkin semula kekuatan ekonomi, sosial, kesihatan dan politik negara diterjemahkan dalam program terbitan RTM ini.

“Ia pastinya turut memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan mengenai isu-isu berkaitan Kementerian yang menjadi topik hangat perbincangan semasa,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya program ini akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 8.40 hingga 9.00 malam menerusi saluran TV1, dan boleh diikuti melalui Facebook Berita RTM serta RTM Klik.

Dalam pada itu, RTM berkata fokus utama yang bakal dikongsi bersama penonton RTM pada 29 September yang mengundang Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin (KPM), manakala 30 September bersama Tan Sri TPr Annuar Musa (KKMM) dan 1 Oktober perkongsian daripada Datuk Seri Faizal Azumu (KBS).

“Nantikan fokus utama bakal dikongsikan bersama penonton RTM pada 29 September ini yang mengundang Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin (KPM) dengan tajuk ‘Pengoperasian Sekolah Secara Selamat dan Kondusif’.

“Seterusnya pada 30 September ini bersama-sama tetamu Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Hj. Musa (KKMM) dan 1 Oktober pula menemu bual Datuk Seri Faizal Azumu (KBS),” jelasnya lagi.

RTM berkata program yang dihoskan secara bergilir oleh pengacara Zaleha Khairene, Andy Reza dan Hazel Desmond ini telah pun memulakan siarannya pada 27 September dengan mengundang ke studio Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan perkongsian tajuk ‘Mencerdaskan Semula Ekonomi Secara Pragmatik’, dan juga Datuk Sri Fadhillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya (KKR) mengenai fokus berkaitan “Memperkasa Infrastruktur Negara”. – WILAYAHKU – DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas