Berita

Al-Quran Mushaf Putrajaya miliki 40 kelebihan dalam satu

25,000 naskhah diterbit sempena Jubli Perak Putrajaya, Nuzul Quran 1441H
ANNUAR meneliti model Al-Quran Mushaf Putrajaya yang bakal diterbitkan di Nasyrul Quran. Turut kelihatan Aminuddin (kanan) dan Abdul Latiff
- Diterbit 11 Mei 2020 8:00 PM MYT

PUTRAJAYA – Naskhah al-Quran Mushaf Putrajaya yang bakal diterbitkan sempena Sambutan Jubli Perak Putrajaya pada Ogos ini sarat dengan ilmu bermanfaat untuk digali umat Islam.

Berbeza dengan naskhah al-Quran yang pernah terbitkan di negara ini, Mushaf
Putrajaya menonjolkan rekaan struktur dan motif diperoleh daripada pelbagai sumber seperti artifak, warisan seni bina, seni reka tekstil dan logam serta seni hias manuskrip.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Tan Sri Annuar Musa berkata, penerbitan naskhah al-Quran itu menelan kos kira-kira RM2 juta dengan RM1 juta dibiayai melalui peruntukan kementeriannya manakala selebihnya daripada kutipan dana sumbangan orang ramai atau wakaf.

“Mushaf tersebut lengkap dengan tafsirnya, ia bersifat ensiklopedik iaitu ada asbab nuzul, hadis-hadis (menerangkan tentang sesuatu ayat al-Quran) dan mempunyai 40 kelebihan dalam satu mushaf, ia sarat dengan ilmu yang boleh digali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran Mushaf Putrajaya bersempena sambutan Jubli Perak Putrajaya dan Nuzul Al-Quran 1441H di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14 di sini.

Penerbitan Mushaf Putrajaya merupakan usahasama Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Restu dan Nasyrul Quran dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Ia akan dicetak di Nasyrul Quran yang merupakan pusat pencetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim; Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Pemegang Amanah Yayasan Restu, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Annuar berkata, Mushaf Putrajaya akan diterbitkan sebanyak 25,000 naskhah dengan peringkat permulaan dicetak sebanyak 5,000 naskhah.

Sambil menyifatkan penerbitan mushaf itu menjelmakan roh pembangunan Putrajaya, beliau menyatakan, naskhah tersebut akan diwakafkan kepada masjid-masjid dan surau, sekolah serta orang awam di sini.

Dalam pada itu, PPj dalam kenyataannya berkata, Mushaf Putrajaya menggunakan seni khat nasakh menggunakan sistem penulisan Hashim Muhammad al-Baghdadi dengan ciri tersendiri penulisan khat Yayasan Restu.

Tajuk surah dan bilangan juzuk pula menggunakan khat thuluth dengan format menyeluruh yang diiktiraf Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mushaf Putrajaya diterbit dengan versi Mufiq (Mudah Untuk Faham Isi Quran) iaitu mengandungi terjemah lafziah, tafsir ringkas, tajwid berwarna, atlas al-Quran, mufradat kalimat (makna perkataan), kisah umat terdahulu dan fadhilat ayat.

Orang ramai yang berminat untuk mewakafkan al-Quran Mushaf Putrajaya boleh hubungi Nasyrul Quran Putrajaya di talian 012-206 7123 (Eddie Amat) atau layari laman www.nasyrulquran.com. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas