Berita

Putrajaya perlu masjid ketiga, tampung peningkatan penduduk

ANNUAR menunjukkan salah sebuah naskhah Mushaf al-Quran yang diterbitkan Yayasan Restu. Turut kelihatan Abdul Latiff (kiri), Aminuddin (dua dari kanan) dan Rosida. Gambar Nasyrul Quran
- Diterbit 11 Mei 2020 10:00 PM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan meminta Yayasan Restu membuat kajian bagi membangunkan sebuah perkampungan al-Quran atau Quranic Village termasuk pembinaan masjid ketiga di pusat pentadbiran Pusat ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa menjelaskan, perkampungan yang dirancang dibina berhampiran Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14 di sini bakal mengandungi elemen pembelajaran ilmu al-Quran.

“Kita juga berbincang tentang pembinaan masjid ketiga di Putrajaya yang didedikasi terhadap al-Quran, tapaknya sudah dikenal pasti iaitu berdekatan Kompleks Nasyrul Quran.”Kita harap akan dapat kita bentuk Quranic Village dengan keseluruhan kawasan itu nanti dipadankan dengan pembelajaran al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran Al-Quran Mushaf Putrajaya bersempena sambutan Jubli Perak Putrajaya dan Nuzul Al-Quran 1441H di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14 di sini.

Penerbitan Al-Quran Mushaf Putrajaya merupakan usahasama Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Restu dan Nasyrul Quran dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Ia akan dicetak di Nasyrul Quran yang merupakan pusat pencetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim; Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Pemegang Amanah Yayasan Restu, Datuk Seri Ahmad Maslan.

PEMBELAJARAN al-Quran menjadi antara elemen penting dalam pembinaan Quranic Village. Gambar hiasan Nasyrul Quran

Annuar berkata, kerajaan berharap ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Putrajaya tidak lepaskan peluang untuk datang melawat Nasyrul Quran iaitu pusat penerbitan al-Quran terbesar di rantau ini.

Beliau berkata, konsep Quranic Village itu sudah dikemukakan dan KWP sedang meneliti perkara tersebut termasuk keperluan pembinaan masjid ketiga di sini.

Dalam hal ini, beliau menyatakan, keperluan kepada sebuah lagi masjid di Putrajaya adalah disebabkan jumlah penduduk kian bertambah pada masa akan datang.

Katanya, setakat ini Putrajaya hanya mempunyai lebih 100,000 penduduk iaitu 40 peratus daripada unjuran asal selepas 25 tahun pembinaannya, bandar ini memiliki hampir 300,000 penduduk.

“Sekarang kita sedang lihat bagaimana Putrajaya boleh menerima penduduk lebih besar bagi menyokong pertumbuhan sesebuah bandar mapan seperti perniagaan pasar raya.

“Oleh itu akan ada usaha galakkan lebih ramai rakyat membeli premis kediaman di sini, bukan hanya pegawai kerajaan”Bila ramai penduduk maka keperluan untuk masjid bertambah,” katanya.

Setakat ini di Putrajaya terdapat dua buah masjid utama iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selebihnya, terdapat masjid dan surau di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di setiap presint.

Annuar berkata, kerajaan berusaha untuk mewujudkan perumahan mampu milik di bawah harga RM200,000 untuk golongan muda membeli kediaman lebih awal.

“Ini bagi memastikan mereka melepasi kelayakan mendapat pembiayaan bank dengan tempoh pinjaman lebih lama,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas