Berita

Tiada salam, peluk cium ketika Aidilfitri

MELETAKKAN tangan pada dada menjadi norma baharu masyarakat pada masa ini menggantikan bersalaman. - Gambar hiasan
- Diterbit 11 Mei 2020 2:07 PM MYT

PUTRAJAYA – Amalan bersalaman dan peluk cium ketika bertemu sanak-saudara yang menjadi kelaziman pada musim perayaan perlu dielak bagi mengelak penularan virus Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain menetapkan penjarakan sosial, orang ramai perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi ketika melawat sempena sambutan Aidilfitri.

Katanya, golongan warga emas serta mereka yang mempunyai sejarah penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis perlu dilindungi kerana mereka adalah golongan berisiko tinggi mengalami jangkitan.

“Kita perlu ikut SOP Kementerian Kesihatan iaitu penjarakan sosial. Yang penting, penjarakan sosial diamalkan di rumah. Pastikan penjarakan itu dan lindungi warga emas, tiada salam, tiada peluk cium.

“Perlu dipastikan warga emas dilindungi, kerana kalau kita lihat kes kematian akibat Covid-16 membabitkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas lebih daripada 50 peratus.

“Jika tidak dapat amalkan penjarakan sosial, lebih baik untuk kita kurangkan melawat,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Dalam pada itu, katanya, majikan perlu mematuhi konsep 3C yang diketengahkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.

3C ialah elak tempat sesak (crowded places), tempat tertutup (confined spaces) dan perbualan secara rapat (close conversation).

“Kelaziman baharu ini diharap dapat diamalkan oleh majikan dan individu.

“Kalau semua amal kaedah baharu ini ia dapat cegah penularan Covid-19 serta putuskan rantaian virus berkenaan dalam masyarakat.

“Seperti yang dapat dilihat, salah satu kluster yang terdapat di negara ini disebabkan pekerjanya duduk serumah melebihi 10 orang dan sudah tentu tiada penjarakan sosial satu meter seperti yang disarankan oleh kementerian di kediaman berkenaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas