Berita

Akta khusus buli penting noktahkan generasi pembuli

- Diterbit 10 Januari 2024 9:05 AM MYT

BULI menjadi isu yang semakin serius dengan peningkatan ketara kes dilaporkan, namun adakah masalah itu dapat diselesaikan menerusi penggubalan undang-undang?

Gejala sosial berkenaan membangkitkan kebimbangan apabila menyaksikan sebanyak 4,994 kes buli dilaporkan sejak Oktober 2023, meningkat berbanding 3,887 kes pada 2022 dan 326 kes pada tahun sebelumnya sepertimana yang didedahkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Biarpun pelbagai pendekatan dilakukan termasuk melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli dan Gangguan Seksual oleh KPM, salah laku terbabit masih lagi terus berlaku seolah-olah usaha yang dilakukan  tidak memberikan kesan positif dalam menangani permasalahan itu.

Terbaharu, tular menerusi media sosial video rakaman aksi seorang pelajar lelaki memukul berkali-kali bahagian muka rakannya menggunakan topi keledar di Segambut Dalam.

Berdasarkan situasi yang semakin membimbangkan itu, pakar berpandangan sudah tiba masanya untuk satu akta khusus diwujudkan bagi mengatasi kelompangan yang wujud dalam mencari jalan penyelesaian masalah itu.

Hal ini memandangkan, garis panduan berkenaan tidak memperuntukkan hukuman untuk mengekang salah laku buli, sekali gus tidak menimbulkan ketakutan kepada pembuli untuk melakukannya, kata pensyarah kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mimi Sintia Mohd Bajury.

“Di Malaysia, tidak ada undang-undang khusus menangani kes buli kerana undang-undang sedia ada hanya piece meal, di sana sedikit … di sini sedikit di bawah akta kesalahan-kesalahan kecil dan sudah tiba masanya kita mempunyai akta khas mengekang buli,” katanya kepada Bernama pada siaran Malaysia Petang Ini kelolaan Bernama TV.

Garis panduan berkenaan tidak memperuntukkan sebarang hukuman kepada pembuli, tetapi hanya  menjadi asas pengurusan kepada salah laku buli secara terminologi, definisi, jenis, faktor implikasi peranan jawatankuasa pengurusan salah laku, tatacara pengurusan dan disiplin serta intervensi salah laku buli.

Beliau berkata akta itu penting kerana buli memberi kesan sangat besar bukan sahaja kepada fizikal, tetapi juga emosi mangsa berikutan mereka akan mengalami tekanan perasaan yang teruk, kemurungan, tidak yakin diri dan paling membimbangkan apabila ada yang ingin membunuh diri.

Ketika ditanya apakah faktor insiden ini berlaku, Mimi Sintia menjelaskan terdapat pelbagai punca antaranya pembuli pernah menjadi mangsa buli sebelum ini sehingga merasakan perbuatan terbabit bukan satu kesalahan dan dinormalisasikan dalam kehidupan mereka.

“Mereka beranggapan perkara ini kecil kerana sebelum ini pernah dibuli dan membuatkannya untuk membuli orang lain kerana ingin merasa superior (kedudukan lebih tinggi),” katanya.

Selain itu, insiden salah laku ini juga biasanya berlaku ketika usia muda kerana mudah dipengaruhi rakan sebaya khususnya apabila mereka berada dalam satu kumpulan yang turut dianggotai pembuli.

Penyelidik bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam berpendapat dengan adanya akta khusus berkenaan, hukuman setimpal dapat dikenakan kepada si pembuli sama ada melakukan kesalahan itu secara fizikal ataupun lisan.

Hal ini kerana, peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang  memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 bagi mereka yang disabitkan kesalahan membuli secara lisan, disifatkan Mohamad Naqiuddin tidak setimpal dengan kesan terhadap mangsa.

Malaysia sepatutnya mencontohi beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat dan Filipina yang  sudah ke hadapan dalam menangani masalah salah laku itu apabila melaksanakan akta buli dalam sistem perundangan mereka.

“Peruntukan undang-undang sedia ada (berkaitan buli) lebih menumpukan kepada hukuman berat bagi kesalahan melibatkan kecederaan fizikal dan hukuman buli lisan dianggap ringan,” katanya.

Harapan besar dipertaruhkan untuk mewujudkan akta khusus buli dalam menoktahkan salah laku berkenaan, bagaimanapun sama ada langkah itu mampu direalisasikan dalam masa terdekat, terus menjadi persoalan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas