Artikel

Aidilfitri yang menginsafkan

SUASANA sesak berbelas jam apabila kenderaan bergerak bagai siput di atas jalan raya berulang kembali mewarnai hari raya Aidilfitri tahun ini.
- Diterbit 13 Mei 2022 7:38 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

FENOMENA beraya di jalan raya kembali seperti sebelum ini apabila berjuta perantau dari Kuala Lumpur pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

Amalan yang menjadi tradisi dalam kalangan perantau kota ini terhenti selama dua tahun sejak 2020 akibat pandemik COVID-19.

Kini berulang kembali suasana bersesak berbelas jam apabila kenderaan bergerak bagai siput di atas jalan raya. Kesesakan laluan ke Pantai Timur, utara dan selatan kembali mewarnai hari yang paling ditunggu itu.

Jalan ke Pantai Timur melalui Gua Musang misalnya seperti selalu – 16 jam antara Kuala Lumpur dan Kota Bharu.

Ke utara juga tidak kalah sesaknya. Tetapi inilah suasana raya. Kesesakan pulang ke kampung halaman menjadi sebahagian acara yang memeriahkan hari raya.

Penat dan lelah hilang apabila memijak anak tangga pertama rumah ayah dan bonda. Demikian magisnya hari raya bagi perantau kota.

Walaupun berbelas jam di dalam kenderaan yang merayap perlahan, tetapi tidak ada yang merungut. Jauh sekali untuk kecewa atau serik mengulangi pada tahun yang berikutnya. Itu acara tahunan yang mesti ditempuh untuk pulang berhari raya.

Beberapa teman memberitahu mereka tersekat dalam kesesakan yang amat teruk dengan nada yang ceria dan bahagia.

Tentulah kesesakan itu terlalu kecil kalau hendak dibandingkan dengan kehilangan dua kali Aidilfitri yang lebih menyeksakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tahun ini suasana hari raya kembali seperti sebelumnya – perantau kota boleh pulang berhari raya. Sanak saudara di kampung halaman pula menunggu berulangnya saat-saat manis orang kota beraya di kampung halaman.

Suasana di kampung kembali meriah dengan kepulangan sanak saudara yang jauh merantau.

Pekan-pekan kecil yang sebelum ini sepi tiba-tiba menjadi ‘Kuala Lumpur’ apabila berlaku kesesakan yang luar biasa. Sebahagian besar dipenuhi kenderaan dari Kuala Lumpur.

Pasar raya dan bazar Ramadan beberapa hari sebelum Aidilfitri pula mengalami sesak yang luar biasa. Itulah penangan orang Kuala Lumpur yang beraya di kampung selepas tertunda dua tahun kerana musibah yang tidak pernah disangka-sangka.

Gaya orang Kuala Lumpur yang balik ke kampung pula sangat mudah dikenal malah sesetengahnya sengaja untuk menunjukkan hal demikian.

Sementara di Kuala Lumpur pula sunyi sepi ketika hari raya. Jalan-jalan yang selama ini penuh sesak dengan kenderaan sudah boleh bermain bola – tidak ada kenderaan kerana hampir semuanya berada di kampung.

Demikianlah Kuala Lumpur yang bergantung kepada perantau yang mencari rezeki dan selebihnya menyuburkan ekonomi.

Hujung minggu lalu pula berjuta kenderaan memudik ke kota. Kehidupan pun bermula apabila Aidilfitri kembali bersembunyi di sebalik kalendar hingga tahun berikutnya.

Walaupun masih dalam suasana hari raya, kehidupan yang mencabar di Kuala Lumpur mesti diteruskan seperti biasa.

Kini Kuala Lumpur sudah kembali sibuk. Kesesakan pun kembali mengambil tempat di kota yang menjadi nadi kehidupan warganya.

Suasana Aidilfitri selalunya tidak terasa di Kuala Lumpur kecuali acara membeli-belah pada minggu terakhir sebelum hari raya.

Aidilfitri seolah-olah hanya ada di kampung halaman kerana di sana ada ayah dan bonda serta sanak saudara.

Sebenarnya Aidilfitri kali ini memberikan banyak iktibar untuk kita sama-sama merenung dan memetiknya. Aidilfitri ini adalah yang luar daripada kebiasaan apabila dua kali Aidilfitri telah ‘dicabut’ dari kalendar.

Dua kali kehilangan Aidilfitri kerana musibah yang juga sebenarnya ruang untuk masing-masing memeriksa diri.

Ini juga satu peringatan kepada semua bahawa dalam keadaan tertentu duit dan harta benda bukanlah kehidupan yang sebenarnya.

Ketika berada dalam serkupan pandemik, duit dan harta benda tidak boleh membeli kebebasan yang ditarik sedikit daripada kita.

Semua dalam kalangan kita tidak kira miskin ataupun kaya berada dalam penjara fizikal dan emosi yang sama. Selama dua tahun banyak kehilangan yang berlaku – hidup yang aman, punca rezeki untuk menyara keluarga, sanak saudara yang tewas akibat COVID-19 dan hari raya.

Kita sama-sama dihambat oleh perasaan yang tidak menentu. Kita dilingkari oleh ketakutan dan kebimbangan yang tidak berhujung.

Yang kaya bimbang jatuh ‘miskin’ walaupun sesetengah daripada mereka harta yang dimiliki boleh menyara tujuh keturunan. Yang miskin berdepan tekanan berganda – kehilangan kerja dan simpanan pula tidak seberapa.

Tekanan emosi ini sama sahaja. Penjara emosi terbukti jauh lebih menyeksa kerana ketidaktentuan dan ‘esok’ adalah hari yang mendebarkan. Miskin dan kaya terdera oleh emosi dan tenggelam punca dalam banyak perkara.

Oleh hal yang demikian, Aidilfitri kali ini setidak-tidaknya adalah peluang keemasan untuk kita merayakan dengan kesedaran dan keinsafan. Apabila sentiasa berada dalam kegembiraan, manusia terlupa menghargai kegembiraan itu.

Malah menjadi tidak pernah cukup dengan anugerah yang diberi. Apabila sedikit ujian diturunkan, kita kembali menilai masa lalu yang sebenarnya anugerah yang tidak ternilai.

Hari Raya Aidilfitri yang baru sahaja berlalu mengingatkan kita tentang perkara-perkara yang melintas dalam garis masa hidup kita yang penuh warna.

Maka Aidilfitri sebenarnya bukan sekadar untuk bergembira, tetapi yang lebih utama meningkatkan keinsafan.

Semua dalam kalangan kita telah dianugerahkan hak masing-masing. Hak itu membolehkan kita mendapat kembali peluang menyambut hari raya dalam suasana yang tidak terkepung oleh kebimbangan yang melampau.

Maka seharusnya kita sama-sama menghargai kebebasan yang selama ini semacam tidak ada nilainya.

Secebis kebebasan yang ditarik daripada hidup kita itu sudah menjadikan seolah-olah tidak ada kehidupan lagi selepas itu. Padahal berpuluh kali Aidilfitri sebelum itu kita tidak peduli kebebasan yang dianugerah itu.

Bagaimanapun seperti biasa manusia akan kembali melihat masa lalu apabila berada dalam masa kini yang meresahkan.

Hari raya sebenarnya bukan tentang apa yang diperaga, tetapi apa yang dirasa. Kita perlu kembali pada hakikat hari raya yang sebenarnya.

Hari raya bukan pesta tunjuk menunjuk terutama apabila pulang ke kampung halaman, tetapi kembali mengerat ikatan.

Semoga tahun depan dan seterusnya kita terus diberi peluang merayakan Aidilfitri dalam suasana yang aman. Kita sudah mulai menghargai suasana aman yang sebelum ini berlalu begitu sahaja.

Iktibar daripada hilangnya Aidilfitri selama dua tahun diharap dapat mengajar kita menghargai sesuatu yang selama ini berlalu tanpa diendah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas