Artikel

Hari raya dan nostalgia kisah lalu

KEJUTAN tarikh Aidilfitri yang jatuh pada Isnin 2 Mei mengimbau kembali nostalgia pada tahun 1982.
- Diterbit 13 Mei 2022 7:15 AM MYT

HARI ini masuk 12 hari sambutan Aidilfitri. Namun kehangatan sambutan masih belum pudar, masih dirayakan di sana sini.

Malah minggu kedua Aidilfitri dan seterusnya dikatakan waktu di mana sambutan lebih rancak. Ramai mengadakan rumah terbuka.

Adi sekadar ingin mengimbau warna warni sambutan hari raya tahun ini. Pertama, kisah hari raya yang menjadi kejutan dan di luar jangkaan ramai.

Hari raya dijangka pada Selasa 3 Mei seperti tercatat dalam kalendar, sebaliknya jatuh pada Isnin 2 Mei.

Kaedah menentukan hari raya berdasar rukyah dan hisab tetap menjadi amalan. Setiap tahun, sejak sekian lama, tarikh hari raya sudah dapat dijangka dan tercatat dalam kalendar.

Selalunya catatan ini tidak silap. Namun kali ini jangkaan tergelincir kerana anak bulan Syawal dikatakan sudah kelihatan.

Ramai terkejut kerana masih belum bersedia secukupnya. Barang basah untuk dimasak belum lengkap. Terpaksalah melihat stok apa di dalam peti sejuk. Lemang, ketupat dan rendang terpaksalah dibeli daripada gerai tepi jalan sahaja.

Kebanyakannya merancang membeli bahan masak serta keperluan lain pada Isnin 2 Mei. Oleh itu apabila Isnin diumum hari raya, ramai yang bagai ‘mati akal’.

Syukurlah jika sudah ada membeli sedikit sebanyak, boleh juga diolah untuk makanan pagi raya. Yang tidak ada, redhalah dengan apa yang ada.

Bagi mereka yang merancang balik kampung pada hari Isnin, masih boleh menyesuaikan jadual jika berkenderaan sendiri. Boleh bertolak balik pada malam raya. Jika diizin Allah sempat solat sunat Aidilfitri di kampung.

Yang menggunakan pengangkutan awam dan sudah menempah tiket, tiada pilihan melainkan balik pada hari raya pertama. Pastinya tidak dapat bersama keluarga menyambut 1 Syawal.

Kejutan tarikh Aidilfitri tahun ini mengingatkan Adi kepada sambutan hari raya tahun 1982. Buat pertama kali, hari raya tidak disambut serentak di Malaysia apabila Perak dan Johor mengisytiharkan hari raya sehari lebih awal berbanding negeri lain atas titah sultan masing-masing. Ini berikutan laporan anak bulan Syawal telah kelihatan.

Penduduk kedua-dua negeri terpinga-pinga, sementara penduduk negeri lain tertanya-tanya. Namun menjunjung titah sultan, hari raya tetap disambut.

Pihak Jabatan Penerangan, Jabatan Agama, polis dan pejabat daerah keluar masuk kampung menyampaikan perkhabaran.

Maklum ketika itu sistem penyaluran maklumat belum meluas seperti sekarang. Tidak semua ada TV atau radio, dan tidak ada media sosial. Lagi pun makluman secara bersemuka lebih meyakinkan orang ramai.

Sejak itu, penentuan 1 Syawal seluruh negara diseragam menurut kiraan rukyah dan hisab. Malah tarikh ini yang tercatat dalam kalendar menjadi panduan. Mudahlah bagi orang ramai merancang perbelanjaan dan membuat persiapan.

Tarikh ini selalu tepat. Kerana itu apabila catatan kalendar meleset tahun ini, memang ia kejutan untuk orang ramai. Dalam minda mereka sudah tertanam hari raya jatuh pada Selasa 3 Mei.

Bagi Adi, ada thrill juga kejutan seperti ini, seperti juga pada tahun 60-an ketika Adi masih bersekolah rendah.

Tarikh hari raya hanya diketahui sehingga saat terakhir bergantung sama ada anak bulan kelihatan atau tidak.

Kerana biasa dengan situasi ini, penduduk kampung lebih bersiap sedia. Bahan masak memasak dibeli awal, ayam boleh disembelih sebaik sahaja pengumuman rasmi dibuat. Malam raya akan sibuk dengan aktiviti masak memasak.

Lampu minyak tanah di halaman rumah dipastikan semuanya menyala. Lampu gasolin juga dipasang. Cahayanya bukan sahaja memenuhi rumah tetapi menerjah sehingga ke halaman dan sekitar.

Seingat Adi, ayah hanya membenarkan lampu ini dipasang dua kali setahun, pada hari raya Aidilftri dan Aidiladha. Sambutan hari raya ketika zaman kanak-kanak bagi Adi memang menyeronokkan. Suasana sambutan sekarang sudah berubah.

Ramai generasi lama di kampung Adi sudah pergi, malah rakan-rakan sebaya Adi juga sudah ramai yang tiada lagi. Namun kenangan tetap tersimpan dalam hati.

Adi percaya pada waktu ini ramai warga kota yang berkesempatan balik kampung menyambut 1 Syawal bersama keluarga dan saudara mara serta teman, sudah kembali ke ibu kota. Setelah puas menyambut lebaran di kampung halaman kini masa untuk kembali bekerja.

Dianggarkan empat juta balik kampung. Tidak hairan jika angka ini mengatasi rekod balik kampung sebelum ini.

Pertambahan angka kerana sudah dua tahun tidak dapat berhari raya bersama keluarga kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lantaran pandemik COVID-19.

Kerana itu mereka tidak melepaskan peluang berbondong-bondong menuju ke kampung halaman ke pangkuan keluarga dan desa tercinta menyambut lebaran. Pendek kata inilah waktu untuk menebus kembali tempoh dua tahun menyambut hari raya bersendirian atau bersama keluarga sendiri.

Maka sesaklah lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) serta Jalan Persekutuan.

Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) juga sesak dengan orang ramai sehingga susah untuk parkir atau membasahkan tekak dan mengisi perut kosong.

Ramai lah pula yang perlu ke bilik air akan berhenti di stesen minyak. Namun keadaan sama. Bukan sahaja ramai mahu mengisi minyak tetapi ramai memenuhi bilik air. Mahu tidak mahu terpaksalah bersabar menunggu.

Ramai yang beranggapan jika bertolak lewat tengah malam atau awal pagi, perjalanan lebih lancar. Atau jika lebuh raya sesak, bergerak melalui jalan persekutuan. Namun apabila semua mempunyai perkiraan sama, kesesakan tetap berlaku di mana-mana.

Sekali pun sudah ramai kembali ke kota, bukan bermakna kemeriahan hari raya di kampung menjadi suram. Ini kerana akan ada pula gelombang kedua balik kampung menggantikan yang sudah balik ke bandar.

Kumpulan ini bersikap lebih santai dan sabar untuk tidak balik kampung bersesak-sesak dengan orang lain.

Mereka menunggu keadaan lebih lapang. Waktu inilah giliran mereka pulang ke desa. Dengan itu kemeriahan hari raya di desa tetap berterusan membara.

Begitu juga yang telah kembali ke kota, sambutan hari raya tetap diteruskan dengan saling kunjung mengunjung bertemu saudara dan rakan yang sebelum ini kebanyakannya sama-sama balik kampung.

Malah ramai pula mengadakan ‘rumah terbuka’, tradisi yang sudah dua kali hari raya tidak dapat dilakukan. Kerana itu tidak hairan jika lebih ramai mengadakan rumah terbuka di sana sini untuk mengeratkan hubungan sesama keluarga dan rakan-rakan.

Kemeriahan Syawal akan tetap terasa sehingga ke penghujung. Dalam menyambut Aidilftri, Adi tidak lupa memori sambutan hari raya dahulu. Alangkah bahagianya jika masa dapat diputar kembali. Namun tidak mungkin. Selamat Hari Raya.

Adi—Maaf Zahir Batin

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas