Berita

Ahmad Zahid cadang dasar Transformasi Ekonomi Bumiputera

- Diterbit 29 Februari 2024 11:45 AM MYT

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Transformasi Ekonomi Bumiputera turut menggariskan tiga matlamat utama untuk dicapai, melibatkan Keadilan Sosio-Ekonomi, Kemampanan Negara Bangsa serta Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

Katanya ketiga-tiga matlamat utama itu bagi memastikan dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak Bumiputera, tetapi pada masa sama memastikan wujudnya kesalingan atau synergy dengan bukan Bumiputera.

“Tiga matlamat utama yang digariskan menuntut semua kaum bekerjasama membangunkan negara. Menghormati agihan yang adil di samping menerima hakikat, bahawa usaha memartabatkan penyertaan bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah dalam kerangka Perlembagaan Negara.

“Ia juga bagi memadamkan penceritaan ekonomi negara dikuasai oleh kumpulan minoriti, yang tentunya mengundang resah kaum majoriti dan pada akhirnya mewujudkan kesenjangan sosial. Keadaan sebegini tentunya tidak sihat bagi sebuah negara yang telah melebihi enam dekad dibangunkan secara bersama,” katanya dalam ucaptama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata melalui matlamat Keadilan Sosio-Ekonomi, kerajaan mahu memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasakan, selain memastikan mereka tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu.

Justeru, beliau mengusulkan agar Majlis Amanah Rakyat (MARA) diperkasakan dengan tanggungjawab penyelarasan, pemantauan dan penilaian di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera.

“Serentak itu juga, Unit Pemerkasaan Bumiputera di kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) perlu diaktifkan semula agar penyelarasan, pemantauan dan penilaian dapat dijalankan dengan berkesan,” katanya.

Bagi matlamat Kemampanan Negara Bangsa, beliau menekankan supaya Transformasi Ekonomi Bumiputera dijadikan satu dasar besar yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi bumiputera dan menarik pelaburan agar negara dapat membina landasan ekonomi yang kukuh untuk kemampanan jangka panjang.

Manakala bagi matlamat terakhir, iaitu Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat, Ahmad Zahid berkata setiap langkah yang diambil untuk memperkasa ekonomi bumiputera adalah sejajar dengan usaha ke arah pembangunan yang lebih merata dan mewujudkan landasan untuk pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

“Sehubungan itu, KEB 2024 mesti mencari solusi untuk lebih ramai bumiputera mengambil bahagian dalam kegiatan keusahawanan kerana keupayaan untuk berdikari dalam menjana pendapatan akan membawa kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata dalam menjayakan tiga matlamat utama Transformasi Ekonomi Bumiputera itu, enam tekad digariskan sebagai rukun untuk negara terus bergerak serentak bagi mencapai cita-cita yang diinginkan bersama.

Tekad pertama, katanya adalah untuk mempertahankan agenda bumiputera sedia ada dengan dasar dan inisiatif yang diperkenalkan termasuk soal pemilikan tanah, ekuiti perniagaan, pendidikan, peluang usaha, pekerjaan dan perbekalan, walaupun masih belum mencapai sasaran perlu terus diperkasakan.

Beliau berkata usaha menutup ketirisan pelaksanaan dasar dan inisiatif agenda bumiputera menjadi tekad kedua yang perlu dipegang, manakala tekad ketiga untuk mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok bagi memastikan pemerkasaan agenda Bumiputera lebih merata dan rantaian peluang itu dapat memberi manfaat kepada kelompok masyarakat dalam kaum di negara ini.

“Bagi tekad kelima pula kita mestilah mewujudkan jalinan tulen ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera. Melalui Transformasi Ekonomi Bumiputera, kita tidak mahu lagi wujudnya aktiviti ekonomi hanya atas nama bumiputera sahaja.

“Tekad keenam adalah menjamin untuk tidak meminggirkan atau menafikan hak kaum lain. Tekad ini bagi mewujudkan keadilan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

KEB 2024 yang berlangsung hari ini hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dijangka mencungkil potensi teknologi dan peluang baharu bidang ekonomi bagi memperkasakan bumiputera di negara ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas