Berita

Ahmad Dasuki dilantik sebagai Ketua Eksekutif PTPTN yang baharu

AHMAD DASUKI
- Diterbit 21 Januari 2020 7:43 AM MYT

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan pelantikan Ahmad Dasuki Abdul Majid, 45, sebagai Ketua Eksekutif PTPTN yang baharu berkuat kuasa pada 21 Januari ini.  Beliau menggantikan Wan Ahmad Wan Yusoff yang bersara pada 18 Ogos lalu.

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Ahmad Dasuki dipersetujui oleh Lembaga Pengurusan PTPTN berdasarkan kepada pengalaman serta kepakaran beliau.

Ahmad Dasuki yang menyertai PTPTN pada tahun 1998 mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan dari Universiti of Greenwich, United Kingdom.

Sebelum ini Ahmad Dasuki merupakan Pengurus Besar PTPTN Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau yang mewakili seluruh warga PTPTN mengucapkan tahniah serta mengalu-alukan pelantikan Ahmad Dasuki itu.

”Saya yakin beliau akan dapat memimpin pelaksanaan strategi yang telah ditetapkan Lembaga Pengurusan PTPTN demi memastikan bebanan peminjam dapat diringankan sekali gus melestarikan PTPTN untuk terus menyumbang dalam pembentukan modal insan negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas