Berita

Agong serah sumbangan kepada gelandangan

AL-SULTAN ABDULLAH Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan sumbangan kepada gelandangan sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di pusat gelandangan sementara di Kompleks Sukan Desa Tasik Bandar Tun Razak, Cheras. Foto NAZIRUL ROSELAN / AMINNULLAH FARIJ HASAN
- Diterbit 10 Jun 2020 5:31 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sempena dengan Hari Ulangtahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, baginda berkenan bercemar duli untuk berkunjung ke Pusat Gelandangan Sementara di Kompleks Sukan Desa Tasik, Bandar Tun Razak hari ini.

Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussein AlHabshi.

Hadir sama, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Timbalan Ketua Setiausaha Sulit Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Salahuddin Hassan; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail.

Baginda kemudian memperkenan sembah taklimat daripada Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan (JKKKNWP) mengenai keadaan semasa dan juga operasi menyelamat gelandangan-gelandangan ini.

Turut disentuh adalah berkenaan dengan operasi Pusat Pengurusan Krisis (CMC) dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Wilayah Persekutuan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Baginda kemudian berkenan mengurniakan sumbangan ampun kurnia kepada 44 gelandangan yang menghuni di pusat itu.

Selain itu, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan daripada Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas