Berita

Kedai gunting rambut berusia 34 tahun kembali beroperasi

Pekerja kedai gunting rambut sedang mengunting rambut pelanggan dengan memakai PPE.
- Diterbit 11 Jun 2020 1:38 AM MYT

LABUAN – Kedai gunting rambut berusia 34 tahun kembali beroperasi hari ini, selepas dihentikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Pemilik kedai gunting, Abdul Wahab Kadar, 60, berkata, semenjak PKP dilaksanakan, pengusaha kedai gunting rambut terjejas susulan pendemik global serta kami mengalami kerugian yang besar kerana terpaksa menghentikan operasi premis beberapa bulan.

“Kami buka kedai pada pukul 7.30 pagi dan setakat ini lebih 500 pelanggan yang datang dan langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) kami laksanakan dengan sebaiknya,” katanya kepada Wilayahku.

Jelasnya lagi, penggunaan apron pakai buang, penutup muka dan cuci semula peralatan yang digunakan sentiasa dilakukan demi memastikan premis dan alatan sentiasa bersih.

ABDUL WAHAB

“Kami (pengusaha) ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah membenarkan kedai gunting rambut dibuka semula pada hari ini (semalam),” katanya.

Seorang pesara swasta Sherkawi bujang, 58, berkata, ketika PKP, dia terpaksa mengunting rambut sendiri walaupun tidak mahir.

“Walaupun kadar harga naik sedikit namun ia tidak ada masalah kepada kita (pelanggan) disebabkan kita tahu pengusaha kedai rambut mengalami kadar kerugian yang agak besar sejak PKP dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, hasil tinjauan Wilayahku di sekitar bandar Labuan mendapati kebanyakan kedai gunting rambut telah kembali beroperasi dan SOP yang ditetapkan dipatuhi oleh setiap premis tersebut.

Terdahulu, Menteri Pertahanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 6 Jun telah mengumumkan kebenaran kepada premis gunting rambut dan salon kecantikan beroperasi semalam.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas