Berita

Agong kurnia watikah pelantikan 23 ahli MAIWP sesi 2024/26

KREDIT foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
- Diterbit 3 April 2024 9:05 PM MYT

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 23 Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi sesi 2024-2026.

Istiadat yang berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara itu dimulakan dengan pengurniaan watikah pelantikan kepada Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer diikuti timbalannya Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Turut menerima watikah pelantikan Ahli MAIWP ialah Datuk Awang Alik Jeman, Datuk Anas Ahmad Zaki, Komisioner Polis Datuk Seri Azri Ahmad, Datuk Prof. Madya Dr Luqman Abdullah, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh dan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Penerima lain ialah Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Datuk Lt. Kol (K) Anwari Suri, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, Datuk Dr Nooh Gadut, Datuk Seri Amrin Awaluddin, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Datuk Mohamad S. Ahmad.

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Prof. Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Datuk Dayang Sadiah Abg Bohan, Prof Datin Dr. Rusni Hassan, Prof Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman, Zuri Zabuddin Budiman, Ahmad Fauwaz Ali dan Datuk Mohd Ajib Ismail.

Pelantikan yang berkuat kuasa bermula 15 Feb 2024 hingga 14 Feb 2026 itu adalah mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan timbalannya Prof Dr Zulkifli Hasan serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya.

Usai istiadat itu, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama pelajar institusi pendidikan MAIWP, anak-anak asnaf, kepimpinan MAIWP serta wakil-wakil agensi agama.

Seri Paduka berdua turut berkenan menunaikan solat maghrib berjemaah bersama tetamu dengan diimamkan oleh Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh, di Surau Utama Istana Negara.

Pada majlis itu, Seri Paduka berdua turut berkenan menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada pelajar dan anak asnaf. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas