Berita

MINDEF laksana Pharmagrad untuk anak-anak tentera, veteran

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 3 April 2024 9:30 PM MYT

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) melaksanakan Program Pharmagrad iaitu latihan industri bersama Pharmaniaga yang dikhususkan untuk anak-anak anggota tentera dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata anak anggota dan veteran ATM yang merupakan graduan dalam bidang seperti farmaseutikal, biomedikal, kimia, kejuruteraan, logistik, teknologi maklumat dan kewangan berpeluang menjalani latihan industri selama lapan bulan bersama Pharmaniaga.

“Bermula tahun hadapan, sebanyak 120 tempat akan diperuntukkan oleh Pharmaniaga Berhad menerusi program Pharmagrad,” katanya dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan bersama Pengamal Media di sini, hari ini.

Selain Pharmagrad, Mohamed Khaled berkata kementerian turut menjalankan program latihan keusahawanan PROTEGE-RTW dengan kerjasama BHPetrol bagi meningkatkan potensi kebolehpasaran graduan dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan menganggur.

“… dan ia terbuka kepada graduan anak-anak ATM dalam semua bidang. PROTEGE-RTW ini akan melibatkan antara lainnya latihan penempatan dan bimbingan bersama syarikat-syarikat yang terlibat dalam tempoh lapan hingga 12 bulan,” katanya.

Beliau berkata BHPetrol akan memperuntukkan 22 tempat setiap tahun untuk tempoh tiga tahun dengan jumlah keseluruhan sebanyak 66 penempatan.

“Pemilihan calon akan dibuat berdasarkan kriteria yang telah digariskan mengikut kesesuaian. Bilangan ini akan disemak semula mengikut keperluan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas