Berita

PKBM SYOR 7 CADANGAN ELAK KONTAKTOR TEMPATAN GULUNG TIKAR

- Diterbit 12 Jun 2020 3:30 AM MYT

Inisiatif kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumum YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin baru-baru ini sedikit memberi kelegaan kepada kontraktor tempatan yang sebelum ini terjejas susulan COVID-19 yang melanda negara.

Biarpun langkah komprehensif menerusi PENJANA ini diyakini mampu mengukuhkan semula ekonomi negara, namun Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) merasakan ada beberapa perkara masih perlu diberi perhatian kerajaan khususnya yang membabitkan nasib dan masa depan kontraktor tempatan.

Justeru itu, hasil Mesyuarat Jawatankuasa PKBM yang berlangsung pada 10 Jun 2020 menetapkan 7 syor dan tindakan yang perlu diberi pertimbangan khusus oleh kerajaan dalam usaha mengelak lebih ramai kontraktor tempatan gulung tikar.

• Pertama – SME Bank perlu melonggarkan syarat pinjaman kepada mana-mana kontraktor yang mempunyai rekod CTOS dan CCRIS. Kelonggaran ini penting bagi membolehkan mereka diberi kelayakan sewajarnya pada waktu mencabar ini untuk mendapat dana pinjaman yang diumum dibawah PENJANA sebagai pusingan modal kerja khsusunya melibatkan kontraktor G1 dan G2.

• Kedua – Penilaian untuk menganugerahkan apa jua tender dan projek kepada kontraktor G5, G6 dan G7 tidak hanya merujuk kepada rekod kewangan syarikat bagi tempoh Mac 2020 hingga Jun 2020. Ini memandangkan, sepanjang tempoh itu, ramai kontraktor tidak mempunyai kerja-kerja untuk dilakukan disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) menyebabkan aliran kewangan syarikat terjejas teruk dan berada dikedudukan defisit. Justeru, penilaian sebaiknya adalah dengan melihat rekod kewangan syarikat bagi bulan-bulan terdahulu iaitu sebelum Mac 2020 kerana itu lebih adil khsusunya kepada kontraktor yang terjejas.

• Ketiga – Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau supaya dana PENJANA yang diagih kepada syarikat konsesi ini, manfaatnya mesti turut dirasai ahli persatuan kontraktor. Kita mendapat aduan dari ahli persatuan dimana ada dikalangannya hanya diberi komisyen oleh syarikat konsesi selepas mereka memberi pinjam lesen namun yang dikesali apabila mereka tidak langsung diberikan sebarang kerja.

• Keempat – Melaksana tender terus atau tender terhad sebagai langkah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi. Kaedah ini boleh dilaksana khusus untuk projek-projek terpilih dan berprestasi tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

• Kelima – Kaedah undian menerusi online perlu dilaksana oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelak penganugerahan sebarang tender hanya dibolot pihak tertentu yang mempunyai hubungan baik dengan Ahli Majlis PBT. Kita memuji jabatan dan agensi kerajaan lain yang sudah pun melaksana kaedah berkenaan kerana ia boleh memberi keadilan kepada semua kontraktor.

• Keenam – Menjadikan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai saluran ‘one stop centre’ untuk mengenal pasti pekerja-pekerja yang terkesan dengan COVID-19 dan diberhentikan kerja oleh majikan. CIDB boleh bertindak sebagai pemudah cara memberi peluang pekerjaan seperti mensyaratkan kepada mana-mana kontraktor yang sudah dilantik supaya mengambil pekerja ini dengan syarat kontrak tertentu.

• Ketujuh – PKBM menawarkan khidmat Covid test kepada semua kontraktor hasil kerjasama dengan pihak hospital yang akan mengeluarkan keputusan ujian berkenaan. Semua pekerja akan disaring di tapak binaan secara mobile tanpa perlu datang ke hopsital.

Pada masa sama, PKBM menzahirkan terima kasih dan tahniah atas pengumuman PENJANA yang membuktikan kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri dibantu Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Fadillah Yusof cukup prihatin terhadap pemasalahan yang sedang dihadapi kontraktor tempatan.

DATUK AZMAN YUSOFF
PRESIDEN KONTRAKTOR BUMIPUTERA MALAYSIA (PKBM)
12 JUN 2020

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas