Berita

Agihkan kekayaan secara menyeluruh

KHALID ketika berucap di WUF-10 baru-baru ini.
- Diterbit 14 Februari 2020 1:30 AM MYT

ABU DHABI – Pembangunan mapan akan terus menjadi agenda utama Malaysia apabila ia dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi tempoh tahun 2021 hingga 2025.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, Agenda Pembangunan Mapan 2030 meningkatkan usaha Malaysia untuk meneruskan perjalanan ke arah pembangunan mapan dengan lebih agresif lagi.

“Jadi, Malaysia telah menyelaraskan prinsip-prinsip pembangunan mapan dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) iaitu bagi tempoh 2016 hingga 2020.

“Semua aktiviti pembangunan di Malaysia telah memasukkan aspek pembangunan mapan,” katanya dalam ucapan alu-aluannya ketika mempengerusikan sesi networking bertajuk ‘Ca­baran Melaksanakan Penilaian Kemapanan Bagi Bandar-Bandar Ke Arah Mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs)’.

Sesi anjuran PLANMalaysia yang diadakan sempena Forum Urban Sedunia (WUF) ke-10 di Abu Dhabi itu mendapat kerjasama Datuk Bandar Asker, Norway; Global Environmental Strategies (IGES), Jepun dan Universiti Melbourne, Australia.

WUF-10 berlangsung dari 8 hingga 13 Februari.

Khalid berkata, Malaysia telah menyatakan komitmennya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015 bagi melaksanakan Agenda Pembangunan Mapan 2030.

Beliau menjelaskan, komitmen terbaharu Malaysia ke arah pembangunan mapan diperkuatkan lagi dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang meletakkan sasaran mencapai pertumbuhan mapan yang adil, pengagihan kekayaan menyeluruh merentasi semua kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Tambahnya, wawasan tersebut menekankan tujuh teras strategik meliputi ekosistem perniagaan, pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan, pasaran buruh, kesejahteraan sosial, keterlibatan wilayah dan pembangunan modal sosial.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas