Berita

Bandar perlu jadi ‘jantung’ pembangunan mapan

KHALID merasmikan WUF ke-10 baru-baru ini.
- Diterbit 14 Februari 2020 4:42 AM MYT

ABU DHABI, Emiriah Arab Bersatu (UAE) – Forum Urban Sedunia (WUF) ke-10 yang berlangsung di Abu Dhabi, baru-baru ini diberitahu bahawa usaha bandar-bandar untuk mencapai pembangunan mapan merupakan satu perkara yang amat penting di seluruh dunia bagi dekad akan datang.

GUTERRES

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dalam mesej videonya berkata, proses urbanisasi merupakan salah satu daripada megatrends pada masa ini dan ia mampu menangani cabaran global seperti mana perubahan iklim.

“Dalam kita bergerak pada dekad tindakan bagi melaksanakan Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs), bandar-bandar di dunia, pekan dan komuniti akan menjadi perkara utama kepada tugas tersebut.

“PBB bergantung kepada pemimpin tempatan dan peringkat nasional, ahli perniagaan, masyarakat sivil dan rakan usahasama yang lain untuk membantu menyediakan penyelesaian kepada cabaran global termasuk perubahan iklim,’’ katanya sambil menegaskan agar peserta forum berkenaan memastikan perbandaran mapan menjadi realiti dan tiada pihak yang tertinggal di belakang.

Forum yang berlangsung dari 8 hingga 13 Februari itu dirasmikan Putra Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Theyab bin Mohamed Zayed Al Nahyan.

Hadir sama Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turut hadir mewakili Malaysia pada forum antarabangsa berkenaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas