Selebriti

Aeril,Wawa bimbang makin ramai bunuh diri

- Diterbit 1 Julai 2021 11:56 PM MYT

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan kes seorang suami yang mengalami tekanan perasaan mengurung isteri dan dua anak mereka.

Lelaki yang kehilangan pekerjaan sebagai jurujual kereta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu itu, dipercayai murung dan stres dengan masalah yang sedang dihadapi.

Bukan itu sahaja, dilaporkan sudah beratus-ratus kes bunuh diri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac tahun lalu, demi mengekang penularan COVID-19.

Bebanan hutang yang tinggi selepas hilang pekerjaan dan masalah keluarga antara punca utama seseorang nekad untuk membunuh diri.

Pasangan selebriti popular, Aeril Zafrel,32, dan Wawa Zainal,30, turut berasa bimbang dengan situasi yang berlaku sekarang.

“Masalah stres dan kes bunuh diri ini amatlah membimbangkan. Ia ketara dilihat berlaku apabila PKP dilaksanakan.

“Saya nak bercakap lebih-lebih pun, kami bukanlah pasangan yang sempurna. Namun apa yang kami amalkan untuk mengelakkan stres dalam rumah tangga adalah sentiasa merancang aktiviti bersama.

“Kena buat aktiviti di rumah walaupun agak terhad disebabkan kita tengah lock down. Cari aktiviti yang boleh mengembalikan momen-momen indah suami isteri.

“Contohnya kemas rumah sama-sama, tonton filem sama-sama dan sebagainya. Bukan sahaja suami isteri, tetapi juga melibatkan anak-anak. Barulah meriah.

“Pada waktu petang, kami bawa anak pusing-pusing kawasan perumahan. Kemudian selepas solat maghrib berjemaah, Aeril akan ajar anak-anak mengaji.

“Selepas makan malam, kami tonton filem pula,” ujar Wawa Zainal kepada Wilayahku.

Wawa juga yakin setiap pasangan pasti ada aktiviti yang sesuai dilakukan bersama.

Manakala Aeril pula menegaskan bahawa duduk di rumah tidak bererti perlu menghabiskan masa bermain telefon atau melayari media sosial sepanjang masa.

“Walaupun terpaksa duduk rumah, jangan buat hal masing-masing atau sentiasa main telefon. Saya tahu ada yang menggunakan telefon kerana bekerja dari rumah, tapi pandai-pandailah bahagikan masa,” jelas Aeril lagi.

 

Bunuh diri sebab stres

Apa yang lebih menakutkan apabila stres atau tekanan yang melampau boleh menyebabkan berlakunya bunuh diri.

“Saya faham dalam keadaan sekarang, ramai yang berhadapan dengan masalah kewangan dan ini boleh menyebabkan stres.

“Saya sedar ianya tidak mudah dan amat sukar untuk dihadapi. Seberat mana pun masalah, janganlah sampai membuat tindakan yang bukan-bukan dan bertentangan dengan agama seperti bumuh diri.

“Jauhkanlah ada niat seperti itu. Anggaplah ini sebagai ujian untuk kita menjadi insan yang lebih baik. Allah sentiasa ada dengan kita. Mohonlah padaNya,” jelas Wawa yang berharap masyarakat kembali kepada agama dalam apa jua yang dihadapi.

Bagi Aeril pula, stres melampau akan menyebabkan seseorang itu mendengar bisikan yang mendorong ke arah negatif.

“Bila stres apa yang membahayakan apabila datangnya bisikan-bisikan lain (hasutan syaitan) yang menggalakkan ke arah yang tidak baik.

“Bagi saya, apabila ada masalah. Luahkanlah. Selain mendekati diri dengan Allah, luahan hati juga amat membantu dalam meredakan stres.

“ Apabila ada kawan atau sesiapa yang stres, dengarlah luahan mereka. Luangkanlah waktu apabila mereka perlukan kita.

“Mungkin kadang-kadang kita tidak mampu memberikan bantuan, sekurang-kurangnya apabila mereka berasa lega apabila masalah dapat diluahkan,” tambah Aeril yang menekankan soal sokongan moral daripada orang sekeliling sangat penting.

 

Manjakan isteri tidak salah

Baru-baru ini, Aeril Zafrel dikritik warganet yang menyifatkan dia terlalu memanjakan isteri juga pelakon, Wawa Zainal seperti dipaparkan di Instagram (IG).

Bagi Aeril, ia adalah perkara biasa sebagai suami isteri dan merupakan tip bahagia dalam rumah tangga.

“Bagi saya, apa saya buat dengan isteri, kebanyakan orang di Malaysia buat perkara sama. Cuma kami artis, itu yang kadang-kadang nampak ia menonjol.

“Apabila ada yang tegur dan cakap jangan manjakan isteri, sudah tentu sebagai manusia yang ada hati dan perasaan akan berasa geram. Tapi bagi saya, apa ditonjolkan tak keterlaluan. Bukan terlalu tunjuk gaya hidup.

“Perkara itu macam biasalah, suami dengan isteri, main dengan anak, beli kek untuk isteri dan banyak lagi. Saya anggap IG ini macam album. Jadi, soal manjakan isteri, bagi saya ia biasa. Tapi kalau nak tahu, jika di rumah saya yang manja sebenarnya,” katanya.

Menurut Aeril, dia tidak boleh menghalang jika ada pihak yang berprangka buruk terhadapnya.

“Kalau ada orang bersangka buruk macam itu, saya tak boleh nak cakap apa. Kita baik macam mana sekali pun, tetap ada yang tak suka pada kita. Jadi, kita buat sajalah,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Aeril menerusi syarikat produksi Respected Citizen Production Sdn Bhd bakal muncul dengan filem sulung terbitan syarikatnya, Sabda Kekasih bermula 24 Jun ini di Saluran Astro First 480.

Selain menjadi penerbit, Aeril juga berlakon di samping isteri, Wawa, Fauziah Nawi, Sabri Yunus dan Sharifah Husna.

Filem yang menelan kos kira-kira RM 1 juta arahan Azhari Zain itu menjalani penggambaran selama 10 hari di Bentong, Pahang dan Sendayan, Negeri Sembilan, tahun lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas