Berita

Adrian Andy punya kelas tersendiri

AdRIAN menggunakan ilmu yang diperolehi untuk mendapatkan prestasi terbaik.
- Diterbit 17 Januari 2020 1:55 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dua kemenangan berturut-turut pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam Piala Sumbangsih dan perlawanan pertama Liga Premier TNBMHL 2020 turut dibantu kecemerlangan penjaga gol kedua UniKL, Adrian Andy Albert.

Ketiadaan penjaga gol utama pasukan UniKL dari Ireland, David Harte memberi ruang dan peluang kepada Adrian membuktikan kemampuannya mengawal gawang pasukan UniKL pada musim kali ini.

Perkara ini dibuktikan menerusi persembahan dua perlawanan terdahulu apabila dia melepaskan tiga gol.

Dua gol ketika menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) iaitu 3-2 dan satu gol ketika menewaskan Hockedemy Kuala Lumpur 3-1.

Menurut Adrian Andy, 23, dia berlatih di bawah tunjuk ajar penjaga gol berpengalaman dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini seperti rakan sepasukannya David Harte dan dua orang penjaga gol berpengalaman negara, Roslan Jamaluddin dan S. Kumar.

“Saya akan memberikan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan. Keyakinan saya juga semakin meningkat untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kembalinya David Harte ke pangkuan pasukan untuk pertemuan bertemu pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Stadium Tun Razak nanti tidak mematahkan semangat Adrian untuk terus merebut tempat dalam pasukan.

“Saya akui gembira dengan kehadiran Harte semula ke dalam pasukan untuk aksi-aksi selepas ini,” ujarnya.

Sebagai rekod, Adrian pernah bersama skuad negara dibawah bimbingan Roelant Othmans dalam siri Jelajah Eropah termasuk muncul juara Kejohanan Jemputan Empat Negara di Barcelona, Sepanyol tahun lalu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas