Personaliti

ADNAN SEMAN ‘the guardian of public interest’

SEORANG yang berkaliber dan berpandangan luas.
- Diterbit 11 Julai 2020 2:00 AM MYT

BERKARISMA dan berjiwa besar, itu pakej lengkap yang dimiliki oleh peguam yang tidak asing lagi, Adnan Seman @ Abdullah, 44. Kehebatannya mengendalikan kes-kes berprofil tinggi menjadikan beliau seorang yang dikagumi.

Berpengalaman 19 tahun dalam bidang guaman, kerjaya beliau bermula seawal tahun 2002 dan berkembang hebat dengan tertubuhnya firma guaman sendiri iaitu Adnan Sharida & Associates yang berpusat di Bandar Baru Bangi.

Berbicara lanjut tentang bidang tugasnya, figura hebat ini sentiasa teguh dengan pendiriannya untuk menggalas tanggungjawab sebagai ‘the guardian of public interest’ dengan penuh adil dan saksama.

Berkongsi pengalamannya dalam perundangan, Adnan banyak menyelesaikan kes-kes berkaitan saman fitnah yang mana jika dilihat pada zaman sosial media, fitnah mampu menghancurkan masyarakat.

BERSAMA pembantu sejurus selesai tugas di mahkamah.

“Fitnah adalah hal yang amat bahaya. Di media sosial kini, ia berleluasa dan semakin menakutkan. Jika berdepan dengan fitnah, seseorang itu berhak mengemukakan saman fitnah demi menuntut keadilan.

“Perlu diketahui, prinsip kebebasan bersuara serta memberikan pendapat perlu ada had dan sewajarnya tertakluk kepada undang-undang sedia ada seperti Akta Fitnah 1957 dan akta yang lain,” tegas beliau.

Pengalaman menguruskan kes fitnah melibatkan golongan atasan membuktikan bahawa setiap individu perlu arif tentang hak asasi dan asas bagi mempertahankan reputasi serta nama baik yang tercalar.

Beliau pernah mengendalikan kes mewakili Tan Sri Sabbaruddin Chik (bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang ketika itu memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen PKR Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mat Akin, selain saman fitnah Lim Guan Eng vs Datuk Ibrahim Ali yang akan didengar September ini.

“Dewasa ini masyarakat semakin arif tentang saman fitnah. Malah jika dilihat, seakan menjadi satu tren di mana kumpulan orang kenamaan dan selebriti bertindak memfailkan saman terhadap orang yang memfitnah.

“Hal seperti ini, tidak boleh diambil mudah kerana boleh menjatuhkan reputasi dan menghancurkan karier. Atas kesedaran tersebut, banyak kes fitnah telah di bawa ke mahkamah,” ujar beliau.

Antara kes saman yang melibatkan selebriti di bawah kendalian beliau adalah melibatkan penyanyi Amy Search dan Wardina Saffiyah.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini turut berpengalaman mengendalikan kes-kes arbitrasi di Singapore International Arbitration Centre, Badan Arbitrase Nasional Indonesia dan Asian International Arbitration Centre.

Selain daripada itu, Ahli Suruhanjaya Tenaga yang juga bekas pendebat Universiti Islam Antarabangsa ini sering muncul sebagai panel jemputan di dalam program bual bicara dan debat berkaitan politik dan undangundang di stesen televisyen terkemuka.

AKTIF DI LAPANGAN SUKAN

ADNAN (dua dari kiri) dalam satu perlawanan amal.

Biarpun sibuk dengan karier namun beliau juga merupakan seorang yang aktif dalam bidang kokurikulum sejak zaman universiti lagi. Dalam masa yang sama turut mewakili Majlis Peguam Malaysia di Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa PeguamPeguam 2006 di Antalya Turki dan Rovinj Crotia 2012.

“Sukan merupakan minat saya sejak dahulu lagi. Ia juga merupakan cara saya melepaskan tekanan. Paling menggembirakan, bermula tahun 2000, saya mewakili Majlis Peguam di kejohanan
‘Malaysia-Singapore Bar & Bench Games’.

“Saya juga gemar bermain catur dan merupakan wakil ketika di universiti dahulu. Ketika bergelar peguam pula, saya pernah muncul sebagai juara Kejohanan Catur Piala Dato’ Mahadev Shankar anjuran Majlis Peguam pada tahun 2006,” kongsi beliau.

Beralih kepada kisah keluarga pula, bapa penyayang kepada enam orang cahaya mata ini amat bertuah kerana dikurniakan isteri, Sharida Abdul Rahaman yang juga merupakan seorang peguam.

“Alhamdulillah, perjalanan karier saya lancar kerana kami dari bidang yang sama dan turut berganding bahu mencipta kegemilangan dalam bidang guaman bersama,” ujar anak kepada bekas Pendaftar Nikah, Imam dan Pendakwah yang cukup dikenali di Sungai Besi dan Bandar Tun Razak sebagai Ustaz Ubai.

PROFIL ADNAN SEMAN

PENDIDIKAN:

1996 – 2000 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan memperolehi Ijazah
Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian)
2010 – 2012 Universiti Tun Abdul Razak dan memperolehi Ijazah Sarjana
Pengurusan (Masters of Management)

POLITIK:

– Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak
– Pemidato Pemuda Barisan Basional
– Penceramah Umno Malaysia/Barisan Nasional
– Pasukan Peguam Barisan Nasional Wilayah Persekutuan PRU14

PENGALAMAN:

– Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) sejak tahun 2006
sehingga 2012
– Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas