Berita

Adib gandakan latihan

ADIB (kiri) melipat gandakan latihan menjelang Kejohanan Silat Dunia di Kuching pada Julai ini.
- Diterbit 7 Mac 2020 8:42 AM MYT

SUNGGUHPUN baru ber­usia 18 tahun, namun pesilat muda Muhammad Khairil Adib Azhar dilihat mampu pergi jauh dalam dunia silat. Buktinya dia berjaya mewakili negara ke Sukan SEA 2019 yang lalu.

Biarpun hanya berjaya menyumbang pingat gangsa bagi kategori Silat Olahraga (Putra A) namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus memburu kejayaan pada masa akan datang.

Menjadikan bapanya, Azhar Ahmad yang merupakan bekas pesilat negara sebagai idola, Adib mengakui ingin meneruskan legasi bapanya yang tidak kesampaian kerana dilanda penyakit kemurungan dan saraf.

“Minat mendalam saya dalam sukan ini bermula daripada bapa. Dia yang memperkenalkan saya dengan silat. Disebabkan itu, saya berazam untuk mencapai lebih banyak kejayaan semata-mata untuk menggembirakannya,” ujarnya.

Kata Adib, satu ketika dahulu bapanya pernah mengharumkan nama negara dengan menyumbang pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia Kuala Lumpur, 1997 namun kini insan kesayangannya itu hanya mampu terlantar di katil.

“Bapa aktif di pentas silat sehingga 2003 dan sebelum bersara dia bergelar jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Saya ingin menjadi seperti dia. Sekurang-kurangnya apabila tidak lagi aktif bertanding, saya berharap mampu bergelar jurulatih,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kini dia hanya mampu berdoa agar bapanya sembuh seperti biasa. Namun disebalik kesakitan yang ditanggung bapanya, setiap kali dirinya beroleh kejayaan, bapanya turut menumpang gembira.

“Keluarga adalah pendorong utama saya selama ini. Setiap kali saya menang mahupun kalah, mereka tidak putus-putus memberikan galakan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” ujar anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini.

Rebut emas

Beralih kepada perkembangan terbaharunya, Adib kini gigih menjalani latihan bagi persediaan Kejohanan Silat Dunia yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak, Julai depan.

Menurutnya, dia sedaya upaya ingin mendapatkan pingat emas pada temasya tersebut bagi menebus kegagalan pada Sukan SEA yang lalu.

“Itu sasaran saya dan Insya-Allah akan cuba berusaha ke arah itu. Sejujurnya saya ingin menyumbangkan emas buat negara dan mengembirakan keluarga yang banyak memberi dorongan,” ujarnya.

Berbaki lima bulan lagi sebelum perlawanan, dia kini telah pun menjalani sesi latihan setiap hari sebagai persediaan memburu impiannya.

“Biarpun masa masih lagi panjang namun itu bukan alasan untuk berlengah kerana saya perlu tingkatkan prestasi bermula sekarang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, jika punya masa terluang, dia akan memperuntukkannya di pusat gimnasium untuk menguatkan stamina tubuh.

“Saya tidak hanya mengharapkan latihan daripada jurulatih semata-mata. Sebagai atlet, kita perlu ada inisiatif sendiri untuk berjaya,” ujarnya.

Katanya lagi, selain daripada latihan, dia juga mempersiapkan diri dari segi mental agar tidak gentar ketika berada di gelanggang nanti.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas