Berita

Program Road To Tokyo bawa sinar kepada skuad badminton

KENNY Goh (kiri) bersama Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann (tengah) dan Ketua Jurulatih Beregu Lelaki, Paulus Firman.
- Diterbit 7 Mac 2020 8:36 AM MYT

KUALA LUMPUR – Program ‘Road to Tokyo’ amat membantu skuad badminton negara menyertai lebih banyak kejohanan dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ternyata langkah Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju melulusan program tersebut mendapat reaksi positif daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata skuad badminton negara dapat menyertai lebih banyak kejohanan sebelum bertanding.

“Barisan pemain turut berpeluang mengukuhkan kedudukan ranking Olimpik mereka. Ini kerana keputusan ditetapkan selepas tarikh tutup kelayakan pada 30 April ini.

“Kami akan mengutamakan latihan di luar negara seperti yang diterapkan kepada skuad wanita negara yang berlatih di Bangkok sebelum ini. Jadi kami mahu memperluaskan lagi usaha ini,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, peruntukan yang diterima bukan sahaja merangkumi pemain di bawah BAM sahaja, ia turut merangkumi sokongan buat pasangan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying jika mereka layak selepas tarikh akhir kelayakan.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat berpeluang cerah untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula perlu meningkatkan kedudukan mereka untuk turut membawa cabaran negara dalam Sukan Olimpik.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas