Berita

Kaji semula penangguhan urusan MPKK, MPKKP

ROZMAN (tiga dari kanan) berbual dengan penduduk kampung ketika menziarahi orang meninggal dunia di Kampung Sungai Bedaun pagi ini.
- Diterbit 9 Mac 2020 4:20 AM MYT

LABUAN – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diminta kaji semula keputusan penangguhan sementara urusan berkaitan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, penangguhan sementara itu akan meletakkan kedudukan ketua-ketua kampung dalam dilema bagi melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawab untuk penduduk kampung.

“Demi penduduk kampung yang sentiasa memerlukan khidmat ketua kampung dalam urusan pengesahan dokumentasi, saya ingin menasihatkan mereka terus melaksanakan perkhidmatan kepada rakyat, tidak perlu letak jawatan memandangkan jawatan itu tidak sepatutnya kosong untuk jangka masa yang lama.

“Terus saja berkhidmat sehingga pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pekeliling daripada Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar bertarikh 4 Mac lepas  yang tular di media sosial, mengarahkan penangguhan sementara urusan berkaitan MPKK dan MPKKP termasuk menyalurkan elaun khidmat.

Rozman berkata, pelbagai permasalahan akan timbul dengan ketiadaan ketua kampung seperti masa peralihan kuasa antara Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan pada tahun 2018 apabila banyak urusan penduduk kampung termasuklah proses dokumentasi dengan Jabatan Kebajikan, Baitulmal dan sekolah tergendala.

Sementara itu, beliau melahirkan keyakinan perancangan dan program pembangunan Labuan tidak akan terganggu memandangkan banyak projek yang dirancang sudah diluluskan atau dalam proses kelulusan.

“Sebahagiannya dalam pembinaan dan sebahagian besar lagi akan dimulakan pada tahun ini. Saya akan terus memperingatkan kerajaan sama ada di dalam atau di luar Dewan Rakyat mengenai projek-projek yang sudah dirancang dan yang dirasakan perlu dan penting untuk pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Labuan,” katanya.

Beliau berkata, perancangan dan permohonan untuk peruntukan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk Labuan sudah dihantar untuk pertimbangan kerajaan Pusat.

“Rakan-rakan saya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), BN dan Pas (Muafakat Nasional) akan mengambil alih tugas kami sebagai pemimpin parti pemerintah dan kami pula menjadi pengganti mereka sebagai pemimpin blok pembangkang.

“Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad, warga kementerian dan Perbadanan Labuan atas peluang, kerjasama dan kepercayaan yang diberikan selama kami memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan,” katanya. – WILAYAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas