Atlet Wilayah

Adib bangga raih emas di Hanoi

KHAIRI Adib sejurus berjaya meraih emas pada Sukan SEA baru-baru ini.
- Diterbit 12 Jun 2022 1:00 AM MYT

BERJAYA melakar kejayaan dengan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2021, Hanoi baru-baru ini, atlet Wilayah Persekutuan, Khairi Adib Azhar, 20, mengakui hasratnya untuk mengikuti jejak langkah bapanya, Azhar Ahmad kian tercapai.

Alhamdulillah kemenangan saya membuatkan keluarga gembira terutama ayah. Mereka kagum dengan pencapaian saya dan mengharapkan saya dapat menyambung legasi ayah,” ujarnya kepada Wilayahku.

Katanya lagi, bapa kesayangannya itu pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu apabila berjaya menyumbang  pingat emas ketika Kejohanan Pencak Silat Dunia Kuala Lumpur, 1997.

“Saya tak nak hampakan ayah. Kalau boleh saya nak capai lebih banyak kemenangan lagi untuk buat dia bangga. Tanpa dia mungkin saya tidak berada di sini pada hari ini,” ujarnya yang bertanding dalam kelas Putra B (50-55 kilogram).

Terdahulu, Khairi Adib berjaya mengatasi musuh utamanya dari Indonesia, Khoirudin Mustakim dalam aksi yang mendebarkan apabila dirinya ditendang di bahagian leher namun berjaya bangkit kembali.

Bercerita lanjut tentang perkembangan terbaharunya, dia sedang giat mempersiapkan diri untuk beraksi pada Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung pada Julai ini di Melaka dan seterusnya SUKMA pada September.

“Setakat ini persiapan berjalan lancar dan saya tidak sabar untuk meraih lebih banyak lagi kemenangan. Saya harap dapat  mengulangi kejayaan merangkul emas pada kedua-dua acara ini,” ujarnya lagi.

Merupakan kali pertama menyertai SUKMA, Khairi Adib percaya kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) bakal muncul juara keseluruhan pada tahun ini kerana atlet yang terpilih rata-ratanya yang terbaik.

“Saya yakin WiPers mampu cipta sejarah yang tersendiri. Kalau pada acara lepas naib juara tidak mustahil kali ini muncul juara pula. Bagi diri saya pula, sudah tentu nak raih emas memandangkan ini kali pertama saya ke SUKMA,” ujarnya.

Kongsinya lagi, setiap kali menyertai sebarang kejohanan, dia sentiasa meletakkan harapan yang tinggi untuk bergelar juara kerana secara tidak langsung ia merupakan salah satu cara membakar semangat. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas