Berita

PM lancar fasa pertama MRT Putrajaya minggu depan

MRT Putrajaya bakal memudahkan orang ramai yang berurusan di Putrajaya.
- Diterbit 12 Jun 2022 12:00 AM MYT

SEKIAN lama ditunggu-tunggu… mereka yang tinggal di Putrajaya dan Kuala Lumpur kini mempunyai pilihan berulang-alik dengan menaiki pengangkutan awam MRT Putrajaya.

Fasa pertama MRT Putrajaya – sejauh 17.5 kilometer (km) dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu – akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Jun ini.

Dalam satu kenyataan Selasa, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berkata Ismail Sabri akan diberi penghormatan menaiki tren pada pagi Khamis depan, sebelum operasi penumpang bermula pada pukul 3 petang hari yang sama..

Fasa pertama laluan Putrajaya meliputi 12 stesen – Kwasa Damansara, Kampung Selamat, Sungai Buloh, Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima, dan Kampung Batu.

Fasa pertama laluan ini membolehkan penumpang bertukar ke stesen KTM di Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (ke Kepong Sentral), dan Kampung Batu.

13 laluan bas baharu juga akan mula beroperasi serentak dengan perkhidmatan MRT baharu. Tujuh daripada stesen MRT juga menawarkan kemudahan tempat letak kereta untuk lebih 2,800 kenderaan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas