Berita

ADGMIN1 tumpu wujudkan blok ekonomi digital serantau mantap

- Diterbit 24 Disember 2020 2:12 AM MYT

MEWUJUDKAN blok ekonomi digital sesama negara-negara ASEAN antara tumpuan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1), yang akan diadakan secara telesidang pada 21 hingga 22 Jan tahun depan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Shakib Ahmad Shakir berkata kesalinghubungan antara negara ASEAN bakal dibincangkan bagi membangunkan blok ekonomi digital serantau yang boleh bersaing dengan blok ekonomi digital yang lain.

“Kita hendak memastikan kesalinghubungan antara negara-negara ASEAN untuk memastikan piawaian yang sama antara negara-negara ini dapat dikekalkan atau dipertingkatkan lagi.

“Terdapat pelbagai perkara yang perlu diteliti dan perhalusi supaya kita dapat menikmati perkhidmatan Internet lebih baik dan memastikan kestabilan rangkaian Internet bukan hanya di negara kita malah jaringan antara negara ASEAN,” katanya dalam program Assalamualaikum yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV Alhijrah hari ini.

Selain kualiti liputan jalur lebar, mesyuarat yang diadakan julung kali secara telesidang dan dipengerusikan Menteri KKMM Datuk Saifuddin Abdullah itu juga akan membincangkan teknologi rangkaian 5G dan 4G, literasi media, berita palsu serta aspek teknikal seperti peruntukan jalur spektrum.

Sementara itu, Shakib berkata logo ADGMIN1 yang menampilkan Bunga Kebangsaan dengan bendera negara-negara ASEAN dan pistil bunga seakan-akan kabel jalur fiber optik, melambangkan kesatuan ASEAN dalam mewujudkan persefahaman erat dalam memastikan negara rantau ini sentiasa bersaling hubung dari segi budaya, ekonomi malah jalinan Internet. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas