Singgah

Santai dalam rumah kaca

- Diterbit 12 Januari 2024 4:50 PM MYT

KAFE berkonsepkan hipster sememangnya menjadi pilihan dan tumpuan terutamanya anak-anak muda meluangkan masa bersantai sambil menikmati menu ringkas yang ditawarkan.

Tidak hairanlah dengan konsep serta dekorasi unik yang diketengahkan, ia juga menjadi spot instagrammable untuk mereka berswafoto dan seterusnya diabadikan dalam laman sosial masing-masing.

Salah satunya adalah kafe Glasshopper yang berkonsepkan rumah hijau dalam taman. Terletak di Taman Botani, menariknya kafe kaca estetik ini membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi.

Menurut pemiliknya, Farouk Faisal, kafe yang terletak di Presint 1, Putrajaya itu memberi pengalaman unik kepada pengunjung menikmati redup suasana taman sambil menjamu selera.

“Ia berkonsepkan glasshouse atau rumah hijau di mana ideanya tercetus berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dilakukan di pelbagai tempat termasuklah di Chiang Mai, Thailand,” ujarnya perniagaan tersebut dijalankan bersama tiga orang rakannya.

Bercerita lanjut, Farouk berkata dia dan rakan kongsinya membawa matlamat yang sama ketika memutuskan untuk membuka kafe ini iaitu mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda di luar sana.

“Kami ingin membantu seramai mungkin individu dan dalam masa yang sama mereka boleh memajukan diri untuk lebih berjaya pada masa hadapan,” ujarnya cawangan pertama tersebut mula beroperasi sepenuhnya pada 17 November 2023.

Berkongsi mengenai menu yang ditawarkan, Farouk berkata Glasshopper mengetengahkan konsep fusion, autentik dan barat selain minuman kopi yang menjadi pilihan ramai.

“Antara menu signature kami adalah pakistani chai, salmon aglio olio, hainanese chicken chop, nasi lemak ayam rempah dan pelbagai jenis kopi. Selain itu, pencuci mulut pula terdiri daripada waffle dan ais krim dan tiramisu.

“Sempena tahun 2024, kami merancang untuk menambah beberapa menu yang kebanyakannya adalah permintaan serta cadangan daripada pelanggan Glasshopper,” ujarnya yang akan mengumumkan dengan lebih lanjut rancangan kafe tersebut pada bulan Ramadan akan datang.

Mampu menempatkan 80 pelanggan dalam satu masa, Farouk berkata kebanyakan pelanggannya menyukai konsep yang diaplikasikan selain ia merupakan satu-satunya kafe hipster dalam taman di Putrajaya.

“Dalam kafe dua tingkat ini, kita mengetengahkan hiasan dalaman yang estetik untuk memastikan ia menjadi lokasi bergambar unik berbumbung lutsinar.

“Pelanggan juga boleh duduk di kawasan luar kafe di bawah pohon hijau selain kita juga menyediakan kerusi bersesuaian untuk mereka bersantai seolah-olah berada dalam hutan,” ujarnya turut menempatkan kipas di bahagian luar kafe bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.

SAMBUTAN LUAR JANGKAAN

Setiap perniagaan pasti berdepan dengan cabaran tidak terkecuali juga bagi Farouk bersama tiga lagi rakan kongsinya sepanjang menguruskan Glasshopper beberapa bulan lalu.

“Kami datang daripada pelbagai latar belakang seperti korporat, automotif, dekorasi dalaman, pengurusan perniagaan dan juga fotografi. Sewaktu memutuskan untuk membuka kafe ini, kami sepakat biarpun tahu pelbagai cabaran menanti di hadapan.

“Ini adalah pengalaman pertama kami terlibat dalam industri makanan dan minuman. Bergelar usahawan dalam bidang ini bukan sesautu yang mudah kerana banyak perkara yang kami berempat perlu pelajari.

“Antara cabaran utama adalah memberi keselesaan dan kepuasan kepada pelanggan sebaik mungkin. Sepanjang tempoh tiga bulan ini kami banyak menerima maklum balas daripada pelanggan.

“Alhamdulillah ia dapat ditempuhi dan kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik. Dalam masa yang sama, sambutan yang diterima luar jangkaan sehingga tidak menang tangan terutama pada hujung minggu,” ujar Farouk.

Mengulas lanjut, dia berkata mereka turut berhadapan dengan masalah barangan mentah yang mahal kerana bahan-bahan yang digunakan adalah premium demi kepuasan pelanggan.

“Di sini menu yang ditawarkan merupakan resipi daripada cef kami sepenuhnya yang nyata mempunyai keenakannya tersendiri.

“Kepuasaan pelanggan adalah keutamaan kami,” jelasnya mereka amat menitikberatkan komen pelanggan sekali gus meningkatkan mutu secara berterusan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas