“Abang Boleh Buat Yang Terbaik” – ZAKI Kagumi OSAMA

“Abang Boleh Buat Yang Terbaik” – ZAKI Kagumi OSAMA

WALAUPUN berlainan ibu, kedua-dua anak penyanyi hebat Datuk Jamal Abdillah iaitu Osama Yamani dan Zaki Yamani saling menyokong antara satu sama lain dalam bidang nyanyian. 

Zaki,14,  sentiasa memberikan kata-kata semangat buat abangnya Osama,19, yang kini bersaing hebat dalam pertandingan realiti nyanyian, Big Stage 2020 siaran Astro.

“Good luck abang. Saya tahu abang boleh buat yang terbaik. Lakukan persembahan dengan sepenuh hati setiap minggu.

“Abang seorang penyanyi yang berjiwa rock. Saya harap dia akan diberikan lagu yang sesuai dengan suaranya yang tinggi. 

“Andai diberi peluang, saya teringin berduet dengan abang. Cuma buat masa ini, dia perlu betul-betul perlu fokus dalam Big Stage,” kata Zaki Yamani kepada Wilayahku.

ZAKI Yamani menyimpan impian mahu berduet dengan abangnya, Osama Yamani

Bagi Zaki, walaupun Osama yang menggunakan nama pentas Yamani Abdillah dalam pertandingan itu bersaing hebat dengan para peserta lain, abangnya tetap juara di hatinya. 

“Nama pun pertandingan, pasti banyak cabaran dan persaingan yang harus abang hadapi. 

“Apa pun yang berlaku, abang tetap juara dan terbaik di hati saya. Semoga abang terus buktikan kemampuan bakatnya dan  layak masuk ke peringkat akhir,” katanya lagi.

OSAMA atau lebih dikenali sebagai Yamani Abdillah bakal mempersembahkan lagu Mimpi Laila pada konsert minggu ketiga.

Osama Yamani adalah anak Jamal Abdillah hasil perkahwinan kedua bersama Noraina Mohd Yusof.

Manakala Zaki Yamani adalah anak Jamal bersama bekas isteri ketiga, Fatimatuzahra Samat. 

Zaki yang popular menerusi lagu Percayaku ini akan muncul dengan lagu baru berjudul Slowmo. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS