Berita

Semarakkan Jiwa Merdeka warga kota

TARIAN Singa dari Kumpulan Harmoni menampilkan anggota pelbagai
- Diterbit 5 September 2020 3:00 AM MYT

MEMBANGKITKAN semangat kemerdekaan tatkala negara masih lagi berperang dengan pandemik COVID-19 merupakan satu perkara yang sukar.

Namun, ia bukanlah satu alasan untuk membiarkan ulang tahun kemerdekaan negara disambut dengan suram tanpa kibaran Jalur Gemilang serta nyanyian lagu patriotik seperti amalan tahun-tahun terdahulu.

Episod serangan pandemik yang hampir melumpuhkan negara sehingga mengakibatkan ribuan rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan tidak akan melemahkan semangat rakyat negara ini, bahkan sambutan Hari Kemerdekaan perlu terus dirancakkan agar menjadi pemangkin untuk terus berjuang membina negara.

Walaupun hari istimewa itu disambut dengan suasana kelaziman baharu serta tidak semeriah seperti tahuntahun kebelakangannya, namun bahang sambutan Hari Kemerdekaan perlu sentiasa dirasai dan disemarakkan agar gelora kemerdekaan sentiasa membasahi jati diri rakyat negara ini bersesuaian dengan tema sambutan pada tahun ini, Malaysia Prihatin.

Menariknya, sambutan ambang Hari Kemerdekaan pada tahun ini menampilkan kelainan apabila Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) dan beberapa agensi lain menganjurkan program konvoi bagi menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai peringkat.

SABAN tahun programprogram jelajah kemerdekaan dianjurkan di seluruh pelusuk tanah air bagi memberikan kesedaran dan mengingatkan rakyat mengenai Hari Kemerdekaan.

Program yang dilaksanakan bagi menyampaikan maklumat yang sarat dengan mesej kemerdekaan untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat dan seterusnya membina jati diri demi negara yang tercinta.

Menggunakan bas Hop On Hop Off, rombongan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Mohd Sukari Abdul Hamid bersama wakil-wakil Jabatan Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibawa menjelajah ke lima lokasi demi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan.

Konvoi itu turut disertai, Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Rudy Irwan Shukaime; Pengarah Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azizah Mohamed Said;
Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr. Amin Sah Ahmad; Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kuala Lumpur, Ariffin Shamsudin dan Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis (ACP) Helmi Aris.

Bergerak dari perkarangan Komplek MaTic Jalan Ampang, konvoi menuju ke lokasi pertama Kompleks Pasar Besar Jalan Wirawati, Kampung Pandan India, Titiwangsa.

Rombongan ini disambut oleh Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL) Parlimen Titiwangsa, Datuk Azizulrahman Mohd Hussain dan pemimpin setempat.

PENDEKAR cilik mempamerkan seni silat kepada peserta konvoi di komplek beli-belah SOGO.

Mohd Sukari kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada Azizulrahman sebagai simbolik program. Lagu Negaraku dan lagu Wilayah Persekutuan kemudian berkumandang di kompleks pasar tersebut.

Peserta konvoi turut mengambil peluang mengedarkan Jalur Gemilang kepada peniaga dan pengunjung di pasar itu.

Konvoi kemudian bergerak ke Taman Metropolitan Kepong yang menjadi tumpuan peminat layanglayang. Di sana peserta disambut oleh Pegawai Penerangan Daerah Kepong dan Batu, Sapawi Osman serta penduduk setempat.

Selain menyerahkan Jalur Gemilang dan beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga di kawasan itu, Mohd Sukari bersama ketua-ketua jabatan kemudian menaikkan layang-layang yang
bertemakan Hari Kemerdekaan sebagai simbolik kepada program tersebut.

Rombongan kemudian bergerak ke kawasan Parlimen Segambut dan disambut oleh Pengerusi MPPWPKL Parlimen Segambut, Datuk Daniel Ling Sia Chin dan Pegawai Penerangan Daerah Lembah Pantai dan Segambut, Kyadizah Abdul Hamid.

Peserta konvoi disajikan dengan persembahan tarian singa dari kumpulan Harmoni yang dianggotai oleh pelbagai kaum. Selepas nyanyian lagu Negaraku dan upacara menaikkan Jalur Gemilang,
bacaan Ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh Daniel Ling menjadi pelengkap kepada program konvoi di kawasan ini.

Konvoi kemudian tiba di Masjid Saidina Uthman Ibn Affan dan disambut oleh Pengerusi MPPWPKL Parlimen Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail. Antara pengisian di sini, pihak MPP menganjurkan majlis tahlil dan doa selamat kepada pahlawan negara yang berkorban untuk negara.

Kompleks beli-belah SOGO menjadi lokasi terakhir. Peserta disambut oleh Pengerusi MPPWPKL Parlimen Bukit Bintang, Eddie Phang dan juga persembahan silat dari tiga pendekar cilik yang dilatih oleh Persatuan Seni Silat Gerak Hidayat Kuala Lumpur.

Eddie Phang dan peserta konvoi kemudian mengedarkan Jalur Gemilang ke premis di Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum program tamat.

Walaupun program hanya dilaksanakan di lima buah lokasi, namun impaknya tetap dapat dirasakan di seluruh ibu kota apabila di sepanjang laluan, orang ramai teruja dan melaungkan kata-kata keramat MERDEKA!!

LAYANG-LAYANG yang bertemakan Jalur Gemilang dinaikkan sempena program Konvoi Kemerdekaan di Taman Metropolitan, Kepong.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas