Berita

‘Jika takut dilambung ombak, Jangan berumah di tepi pantai’

|||
- Diterbit 4 September 2020 9:00 AM MYT

MUKADIMAH
BERPENGALAMAN selama 40 tahun dalam pelbagai agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri membuatkan beliau lebih berkeyakinan dalam menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar Kuala
Lumpur.

Biarpun menyedari tugas mentadbir Kuala Lumpur bukanlah suatu yang mudah kerana faktor bandaraya itu sendiri yang merupakan jantung negara serta tumpuan dunia, namun Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan membuktikan beliau berjaya mengemudinya.

Beliau yakin setiap cabaran yang mendatang mampu dilalui dengan mudah menerusi kerjasama serta sokongan tidak berbelah bahagi semua pihak terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL).

Bagi mengenali lebih mendalam tentang figura hebat ini sepanjang hampir dua tahun menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, Penolong Pengarang Wilayahku, Nazwin Nazri
dan Wartawan Kanan, Aini Mawawi serta jurugambar Amin Farij Hasan menemubual beliau di pejabatnya di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

WILAYAHKU: Berpengalaman selama 40 tahun di pelbagai agensi kerajaan, bagaimana Datuk mengaplikasikannya dalam menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur?
NOR HISHAM: Sejujurnya, walaupun 40 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, tidak semestinya pengalaman itu boleh memberi impak positif kepada perkhidmatan saya di DBKL.

Cuma, kalau saya bandingkan jawatan sekarang dengan ketika saya menyandang tugas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) atau Pegawai Daerah, ia berbeza kerana ini adalah bandaraya.

Dunia melihat kita, apa yang kita buat menjadi bualan orang ramai walaupun hal itu kecil.

WILAYAHKU: Sejauh mana matlamat Datuk dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya bertaraf dunia?
NOR HISHAM: Matlamat paling penting perlu dicapai supaya Kuala Lumpur menjadi bandaraya bertaraf dunia adalah dengan mempunyai ciri-ciri terbaik dari segi keselamatan, keindahan,  kebersihan, persekitaran dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, yang pasti setiap segala yang dilakukan di bandaraya ini dapat dinikmati oleh semua penduduk Kuala Lumpur yang berjumlah lebih kurang 2 juta orang.

Ini termasuklah daripada segi perancangan bandar itu sendiri yang mampan, lestari serta semuanya bercorak positif dan juga yang terbaik dari aspek utiliti, fasiliti, infrastruktur dan sebagainya.

Kita mahu jadikan bandaraya ini tempat yang selamat, aman damai dengan kehijauan bukan dari segi alam sekitar sahaja tetapi bangunan-bangunan yang kita rancang juga berteras konsep hijau.

WILAYAHKU: Bagaimana Datuk melihat pembangunan Kuala Lumpur pada masa akan datang?
NOR HISHAM: Dari segi pembangunan, kita dalam proses menstruktur Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 yang sedang digubal. Insya-Allah, ia dapat dilaksanakan pada tahun 2021 dan 20 tahun akan datang semua pembangunan mengikut apa yang telah kita rancang.

Ia juga adalah usaha agar dapat melestarikan serta menyeimbangkan antara semua. Ia pasti dapat dilaksanakan dengan berjaya jika penduduk di Kuala Lumpur turut membantu DBKL ke arah tersebut.

Jika dilihat, sekarang ini Kuala Lumpur sudah pun mula menuju ke bandaraya bertaraf dunia yang mana kita sedang giat membangunkan dan mencantikkan bandar lama serta projek River Of
Life (ROL) yang sebahagian besarnya telah siap selain kita juga dapat melihat perubahan di sekitar Jalan Masjid India berbanding dahulu.

BERSAMA Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa (tengah) dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara.

WILAYAHKU: Antara kekangan yang dihadapi oleh Datuk sepanjang menjawat jawatan ini.
NOR HISHAM: Bak kata pepatah ‘Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’. Itulah cabaran yang akan datang setiap kali kita menerima amanah yang diberi.

Kekangan itu terbahagi kepada dua iaitu dari segi dalaman dan juga luaran. Dalaman misalnya, bukan mudah untuk menjaga lebih kurang 10,000 pekerja. Semangat, sahsiah, integriti dan sikap amanah mereka perlu dinaikkan.

Kebanyakan orang mengatakan Kuala Lumpur ini kaya, tetapi jika ada dua peratus melakukan hal tidak tentu hala sudah cukup membuatkan ia menjadi tular satu dunia.

Kita juga telah melaksanakan program yang mana kakitangan baharu di bawah gred 41 yang kurang tiga tahun berkhidmat akan dihantar ke kursus kadet supaya mempunyai daya jati diri yang tinggi kerana mereka bakal menjadi pelapis di masa hadapan.

Sementara itu, apabila kita membuat perjumpaan di luar misalnya pergi ke kampung tradisional, kampung baru Cina, kita mengharapkan mereka bersama-sama. Duduk bersama-sama dan tiada
lagi berpuak-puak supaya semua dapat merasa sendiri pembangunan di Kuala Lumpur.

Begitu juga dengan peniaga kecil-kecilan, kita susun baik-baik dan bagi kemudahan pemudah cara termasuklah pemaju besar supaya bukan setakat peniaga kecil sahaja kerana Kuala Lumpur adalah pusat yang kena berdaya maju.

WILAYAHKU: Sepanjang pandemik COVID-19, apakah fokus utama Datuk?
NOR HISHAM: Dalam pasca COVID-19, DBKL memberi peluang  pekerjaan terutamanya kepada mereka yang telah hilang pekerjaan. Sebagai contoh, kita telah mengambil 500 orang Pekerja Sambilan Harian (PSH) untuk diisi di pelbagai jabatan DBKL.

Selain itu, kita juga memberi 50 peratus insentif caj pembangunan memandangkan banyak projek-projek yang tidak berjalan sepanjang COVID-19 ini.

Situasi sekarang juga, kita lebih kepada perniagaan bukan pekerjaan kerana ketika ini amat sukar untuk mendapatkan kerja. Jadi, kita beri kerja secara undi lebih kurang RM60 juta untuk kontraktor G1.

Peluang berniaga kepada anak muda di lokasilokasi tumpuan ramai diperbanyakkan dan dalam masa yang sama memastikan mereka ini memperoleh lesen daripada DBKL bukan menyewa daripada pihak lain.

Dalam pada itu, jika dapat lihat sekarang, kebanyakan tempat-tempat penjaja di Kuala Lumpur tidak lagi kelihatan warga asing, semuanya dipenuhi orang tempatan. Perkara ini akan kita kawal sebaik mungkin.

Jadi, saya harap warga Malaysia dapat bekerja dengan baik dan tidak lagi mengambil warga asing untuk bekerja.

WILAYAHKU: Sepanjang berkhidmat, Datuk berkesempatan bekerjasama dengan dua orang menteri. Bagaimana Datuk berdepan dengan perkara ini.
NOR HISHAM: Sebagai penjawat awam, bukan kita yang buat keputusan tetapi kita ini sebagai penasihat.  Kita hanya menasihati dan Insya-Allah di DBKL, 100 peratus sokongan diberi kepada kerajaan yang memerintah.

Alhamdulillah sepanjang 40 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, semuanya berjalan lancar. Saya terima amanah yang diberi dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.

Pastinya tidak lain hanyalah satu tujuan keberadaan di posisi ini adalah untuk kebaikan masyarakat di Kuala Lumpur, tidak mengira kaum, agama dan sebagainya.

Sesiapapun yang duduk di kerusi ini akan terus mengikut polisi dan kekal bertugas sebagai penjawat awam. Pengisian jawatan ini sentiasa berubah, walaupun kita ada pandangan lain tapi kepelbagaian itu menyatukan kita.

SERING turun padang mendekati masyarakat berbilang kaum.

PENCAPAIAN SEBAGAI DATUK BANDAR
(Oktober 2018 – Disember 2019)

  • Pembinaan Perumahan Bandar di Jalan TAR untuk golongan B40 yang berstatus bujang dan bekerja di Kuala Lumpur
  • Pembinaan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit
  • Pembukaan Perpustakaan Kuala Lumpur, Perpustakaan TTDI dan menaiktaraf perpustakaan DBKL di sekitar Kuala Lumpur
  • Perkhidmatan Bas Percuma Go KL
  • Skim Khidmat Menjelaskan Tunggakan Sewa (Bagi unit sewaan
    PA/PPR)
  • Pengiktirafan daripada UNESCO sebagai Kuala Lumpur Ibu Kota
    Buku Dunia 2020
  • Pewartaan Pelan Bandaraya 2020
  • Pengenalan kepada Kuala Lumpur Intergrated Submission (KLIS)
  • Program Blueprint Penarafan Kebersihan WPKL
  • Menaiktaraf dan pengindahan Taman Tasik Titiwangsa

PENCAPAIAN / PENYERTAAN ANTARABANGSA

  • Tersenarai dalam pemilihan Anugerah Datuk Bandar Dunia (2020)
  • Menghadiri Global Mayor’s Forum & 2018 Urban Innovation Conference The 4th Edition Of Guangzhou Award (2018)
  • Menghadiri Summit of the Mayors Capital Cities of Southeast Europe, Sarajevo (2019)
  • Perasmian Persidangan Kebangsaan Sustainable Development Goals, Kuala Lumpur (2019)
  • Perasmian Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) secara maya (2020)

PENCAPAIAN / PERANCANGAN 2020

  • Pelancaran Sistem Aplikasi KLSTEP di Kuala Lumpur
  • Mewujudkan SOP pembukaan pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria dalam tempoh PKPP (digunapakai semua PBT)
  • Membantu 370 kontraktor G1 memperolehi peluang pekerjaan melalui proses kerja undi bagi kontrak dengan had syiling RM200,000
  • Penyediaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040
  • Penyediaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040
  • Penyediaan Transportation Master Plan

PENDIDIKAN

  • MSc Environmental Planning, Liverpool John Moores University, UK, 1993
  • Ijazah dalam Perpustakaan, Sains dan Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

PENGALAMAN

  • Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya -2014 dan disambung menerusi kontrak selama satu tahun atas kecemerlangan
  • Berpengalaman dalam pelbagai agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri antaranya Pejabat Tanah Daerah Gombak, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian
    Wilayah Persekutuan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas