MENYEDARI peri pentingnya mengekalkan kesihatan, Figura International mengambil langkah memperkenalkan produk minuman berasaskan susu kambing iaitu Figura Goats Milk.
Uniknya minuman kesihatan ini merupakan satu-satunya susu kambing di dunia yang menggunakan herba hempedu bumi atau nama saintifiknya Andrographis paniculata yang telah lama digunakan dalam penjagaan kesihatan oleh masyarakat turun-temurun.
Dikatakan berasal dari Asia Selatan dan India, masyarakat Murut menggunakan rebusan daun ini sebagai minuman untuk meredakan tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Menurut Pegawai Eksekutif Figura International, Mohd Hafiz Mohd Khalid, produk tersebut adalah hasil kajian tiga orang pakar penyelidik iaitu Profesor Emiratus Abdul Latif Mohamad, Profesor Dr Wan Aida Wan Mustapha dan Profesor Dr Noor Hashim Ismail.
“Alhamdulillah saya bersyukur dapat bekerjasama dengan tiga orang nama besar ini. Abdul Latiff adalah pakar botani terkenal dunia di mana beliau pernah membuat kajian terhadap herba Tongkat Ali sehingga menjadi terkenal ke seluruh dunia.
“Hempedu bumi adalah herba yang mempunyai nilai perubatan tinggi itu. Idea untuk membuat produk ini muncul ketika pandemik COVID-19 di mana ketika itu kita dapat lihat masyarakat begitu mementingkan penjagaan kesihatan.
“Sejak dilancarkan lebih setahun yang lalu, sambutan yang kami terima sangat menggalakkan dari segenap lapisan umur bukan sahaja di bandar malah pasaran juga meliputi kawasan luar bandar,” ujar beliau yang sudah pun melebarkan sayap ke pasaran Borneo bermula tahun ini. – WILAYAHKU