Berita

STAR teliti usaha tambah baik kelemahan digariskan LKAN – KSN

MOHD Zuki melawat reruai yang terdapat di Dewan Seri Siantan, Kompleks PPj selepas merasmikan POD 2023.
- Diterbit 6 Mac 2023 1:00 AM MYT

PASUKAN Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) akan meneliti usaha menambah baik aspek kelemahan dan pembaziran wang yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Kita akan teliti bersama laporan ketirisan dalam LKAN selain mencari jalan untuk perbaiki supaya jadi panduan pada masa akan datang agar perkara sama tidak berulang,” katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Putrajaya / Putrajaya Open Day (POD) 2023 baru-baru ini.

Menurut LKAN yang dikeluarkan pada 16 Februari lalu, secara keseluruhannya pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan persekutuan telah dilaksanakan mengikut objektif ditetapkan namun masih terdapat kelemahan seperti sasaran output dan keberhasilan yang ditetapkan tidak tercapai sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Januari lepas turut mengarahkan Jemaah Menteri supaya mengambil serius dan meneliti setiap teguran LKAN tentang soal perbelanjaan, ketirisan yang tidak menepati syarat serta peraturan.

Ditanya mengenai STAR yang dipengerusikan oleh beliau, Mohd Zuki berkata perincian mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mohd Zuki sebelum ini dilaporkan berkata STAR akan melihat, menilai dan menyediakan analisis idea-idea projek atau program berteraskan prinsip Madani iaitu kos rendah, berimpak tinggi serta boleh dilaksanakan dalam tempoh jangka masa pendek, sederhana dan tinggi.

Jelas beliau, STAR juga akan dibantu oleh sepasukan pemikir dan pasukan teknikal terdiri daripada pegawai perkhidmatan awam yang dipilih untuk menjana idea dan meneliti isu atau permasalahan rakyat.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Mohd Zuki berkata Putrajaya merupakan model bagi Malaysia Madani khususnya dalam aspek perbandaran yang menonjolkan ciri-ciri kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta dan ihsan.

Menurutnya, Laporan Ketua Audit 2021 berkaitan pengurusan pembangunan Putrajaya turut memperakui pencapaian keberhasilan bandar tersebut yang mencapai objektif pembangunannya dalam aspek kemampanan bandar, kelestarian alam sekitar, bandar hijau dan kesejahteraan komunitinya.

Tambahnya, Pihak Berkuasa Tempatan Perbadanan Putrajaya (PPj) turut terlibat secara aktif dalam inisiatif ‘Smart Putrajaya’ yang selari dengan satu daripada teras strategik Malaysia Madani iaitu ‘Digitalisasi Perkhidmatan Rakyat’, antara inisiatif Smart Putrajaya adalah Smart Transportation and Mobility, Smart Community dan Smart Economy.

Selain itu, Mohd Zuki berkata penganjuran POD 2023 anjuran PPj yang berlangsung selama empat hari bermula 2 hingga 5 Mac dengan konsep persepakatan antara agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan merupakan wadah bagi rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan dalam satu kawasan berpusat.

“Pihak PPj turut menghimpunkan lebih 60 kementerian, jabatan serta agensi swasta dan korporat bagi menyampaikan maklumat terkini berkaitan perkhidmatan dan produk kepada orang awam, pemegang taruh dan rakan strategik,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas