Berita

Pemandu Grab terima durian runtuh

ISMAIL bersama hadiah yang dimenanginya dalam Pertandingan Memancing Putrajaya 2023. Foto: FARIS AZMI/PPj
- Diterbit 6 Mac 2023 4:00 AM MYT

SEORANG pemandu Grab, Ismail Abdullah, 65, tidak menyangka minat memancing membawa tuah apabila dia dinobatkan sebagai juara Pertandingan Memancing Putrajaya yang diadakan di Sisiran Tasik Putrajaya Presint 2, 3 dan 4 baru-baru ini.

Ibarat rezeki datang bergolek apabila Ismail tidak hanya dinobatkan juara pertandingan memancing malah turut memenangi cabutan bertuah utama sempena POD 2023.

Ismail berjaya menaikkan ikan Rohu seberat 9.5 kilogram (kg) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM7,000 dan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

Tempat kedua dimenangi oleh Julaidi Ismail, 49, selepas berjaya menaikkan ikan Temoleh seberat 4.5 kg sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Amar Kamarudin Abd Rahman, 42, yang menaikkan ikan Rohu seberat 7.9 kg serta membawa hadiah bernilai RM3,000.

Menurut Ismail, dia tidak pernah menyertai pertandingan sebesar itu dan pada kebiasaannya hanya memancing di kolam berbayar pada waktu hujung minggu.

Alhamdulillah, saya tidak menyangka dapat memenangi hadiah sebesar itu. Wang tunai yang diterima akan saya simpan untuk perbelanjaan pada masa hadapan. Untuk hadiah cabutan bertuah pula saya akan jual kepada sesiapa yang berminat. Hal ini kerana faktor usia tidak mengizinkan saya untuk menunggang motosikal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu pada mulanya dia berasa berat hati untuk menyertai pertandingan tersebut kerana berasa kekok dengan jumlah penyertaan pemancing yang terlalu ramai.

“Selepas dipujuk oleh seorang rakan, saya bersetuju untuk menyertai pertandingan itu. Saya hanya menggunakan umpan cacing dan tidak menyangka disambar ikan sebesar itu seterusnya diumumkan sebagai johan,” tambahnya.

Terdahulu, pertandingan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) yang diadakan bersempena POD 2023 itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM22,000 kepada pemancing yang berjaya mendaratkan ikan.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, melalui penganjuran program ini, ianya dapat memberi peluang kepada golongan pemancing untuk sama-sama menikmati hasil pembangunan Tasik Putrajaya di samping melaksanakan aktiviti riadah seisi keluarga.

“Secara tidak langsung, aktiviti ini juga memberikan nilai tambah bagi memperkasakan perkhidmatan ekosistem Tasik dan Wetland Putrajaya sebuah tapak ekosistem perbandaran yang telah mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO sejak tahun 2010,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas