Berita

Altimet tumpu isu masyarakat, bela nasib warga Lembah Jaya

ALTIMET (dua dari kiri) mesra dalam mendekati masyarakat. - Gambar hiasan
- Diterbit 14 September 2023 2:00 AM MYT

PEMBABITAN selebriti mahupun pempengaruh media sosial dalam bidang politik bukanlah perkara pelik di mana sejak mutakhir semakin ramai golongan tersebut yang mewarnai iklim politik negara.

Sebagai figura berpengaruh, mereka mempunyai aura tersendiri dan mampu menarik perhatian ramai sekali gus membawa misi dalam mengetengahkan naratif politik yang matang.

Malah, kehebatan dalam menyalurkan pandangan bernas tentang isu semasa menjadikan golongan anak seni pemikir serta pemimpin yang tidak kurang hebatnya.

Salah seorang yang semakin menyerlah adalah penyanyi dan penulis lagu, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang popular dengan panggilan Altimet.

Beliau yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 baru-baru ini menjadikannya selebriti kedua bergelar wakil rakyat selepas pelakon, Dira Abu Zahar.

Bercakap kepada Wilayahku, Altimet berkata, ia adalah peluang terbaik untuk dirinya membela nasib dan memberi semula kepada rakyat yang menyokongnya selama ini.

“Sebagai ADUN, saya merupakan medium antara rakyat dan kerajaan negeri. Di Lembah Jaya ini, saya tidak keseorangan kerana saya ada pasukan yang hebat untuk bersama rakyat.

“Kami sering berdialog dengan rakyat untuk mengetahui apa isu, cabaran dan aspirasinya. Kemudian, dibawa ke DUN untuk tindakan lanjut.

“Sebenarnya banyak isu yang saya nak selesaikan. Lembah Jaya ini terdiri daripada kawasan yang membangun dan urban namun masih terdapat kawasan kampung di mana setiap kawasan mempunyai masalah yang ditanggung oleh rakyat,” kata beliau.

Ujar beliau, sebahagian masalah sedang diselesaikan dan selebihnya dalam perancangan kerana setiap masalah mempunyai cara penyelesaian yang berbeza dan tempoh masa.

“Misalnya sebelum ini Lembah Jaya mempunyai masalah banjir. Jadi, untuk menangani masalah ini, kita memperdalamkan Sungai Putih yang terletak di Lembah Jaya. Alhamdulillah, projek tersebut telah siap 50 peratus.

“Selain itu, saya juga mengambil tindakan drastik dalam menyelesaikan masalah pengangkutan awam memandangkan ramai penduduk di Lembah Jaya ini menggunakan pengangkutan awam dalam kehidupan seharian. Baru-baru ini, saya bertemu dengan pihak RapidKL untuk menambah kekerapan pergerakan bas dalam kawasan Lembah Jaya. Diharapkan solusi ini memudahkan mereka untuk ke stesen LRT, MRT, komuter dan sebagainya,” ujar beliau.

Menyedari anak muda merupakan aset negara yang bakal meneruskan legasi pemerintahan negara pada masa akan datang, beliau mengakui mempunyai cara tersendiri untuk memastikan mereka menyokong apa sahaja usaha kerajaan.

“Kebiasaannya golongan ini dekat dengan alat telekomunikasi. Mereka suka berinteraksi atau berkomunikasi secara dua hala berbanding golongan dewasa yang sukakan komunikasi sehala seperti ceramah.

“Jadi, cara paling efektif mendekati anak muda adalah sesi soal jawab kerana di sini berlakunya dialog atau pertukaran idea dua hala,” ujar beliau selain sesi tersebut, media sosial merupakan platform berkesan untuk mendekati golongan ini.

Beliau juga turut melancarkan manifesto yang menyentuh beberapa isu berkaitan prasarana, infrastruktur, pengangkutan awam, kerjaya dan sebagainya tidak ketinggalan juga merangka pelbagai program.

Terdahulu, Altimet yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH), berjaya memenangi kerusi N.20 Lembah Jaya sekali gus mengetepikan pesaingnya Sharifah Haslizah Syed Arifin, yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) pada 12 Ogos 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas