Sebanyak RM415 bilion akan dibelanjakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12
ANWAR ketika membentangkan KSP RMK-12 di Dewan Rakyat.

Sebanyak RM415 bilion akan dibelanjakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12

KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM400 bilion dengan menambah siling berjumlah RM15 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesemua dana itu akan dibelanjakan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.

“Anjakan baharu bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat.

“Ia juga termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih serta meneraju ekonomi Islam,” kata beliau ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Rakyat, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, RMK-12 juga akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan, kerajaan juga komited bagi membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tempoh tahun 2023 hingga 2025.

“RMK-12 memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh lima tahun. Bagi tempoh dua tahun pertama, prestasi perbelanjaan sebenar ialah 34 peratus.

“Pada 2021, jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, sementara pada 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion,” kata beliau.

Dalam pada itu, menurut Perdana Menteri, KSP RMK-12 akan menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih wujud, hutang yang membengkak, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.

Kata beliau, dalam tempoh masa yang singkat juga, pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kerajaan untuk mengembalikan Malaysia ke landasan pertumbuhan yang betul.

Sementara itu, Anwar menegaskan, tiga perkara utama akan diberi perhatian kerajaan dalam memastikan semua strategi dan inisiatif yang direncanakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) berhasil.

Menurut beliau lagi, setiap anggota Kabinet diminta memantau pelaksanaan projek RMK-12 supaya rakyat mampu mengecapi nikmatnya tanpa berlengah lagi.

Kata beliau, pelan bagi pemantauan pelaksanaan KSP RMK-12 disediakan sebagai panduan kepada setiap kementerian dan agensi melaksanakannya.

“Sebahagian daripada sasaran KSP RMK-12 juga akan dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian.

“Bagi tujuan itu, satu Jawatankuasa Khas Pemantauan KSP RMK-12 akan ditubuhkan,” kata beliau.

Selain itu, tegas beliau, projek yang sudah lama diluluskan termasuk projek dalam Rancangan Malaysia terdahulu, namun belum dimulakan dalam tempoh yang munasabah, akan dibatalkan. “Ini bagi memberi laluan kepada projek rakyat yang lebih mendesak.

Saya juga mengajak semua anggota dalam kerajaan, termasuk anggota pentadbiran dan ketua jabatan, supaya bersama-sama melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.

“Ia bagi memastikan peristiwa salah laku dan teguran audit yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak lagi berulang,” ujar beliau.

Perdana Menteri turut menyatakan kerajaan akan terus mengambil pendekatan aktif mendengar dan melibatkan bersama rakyat dalam proses penyediaan kerangka RMK-13 supaya memiliki pandangan berbeza daripada seluruh lapisan masyarakat. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Share This